Pereka fesyen perjuang nasib wanita

NAVI MUMBAI, INDIA – Mempunyai kedai-kedai di India dan New York, pelbagai jenama pakaian dan pengikut selebriti global, pereka fesyen Anita Dongre ialah penyokong gerakan kewanitaan atau kuasa feminis dalam industri yang didominasi oleh kaum lelaki.

Namun cita-citanya yang sebenar adalah menubuhkan syarikat yang mesra alam, kata beliau.

“Kadangkala saya ingin meninggalkan bidang rekaan dan menumpu pada kemampanan sepenuh masa,” beritahu Dongre kepada AFP dalam satu temu bual di kilangnya di luar ibu negara kewangan India.

“Masa sudah kesuntukan. Perubahan iklim sudah dekat dan kami semua perlu melakukan sesuatu,” kata wanita berusia 56 tahun itu, di mana pakaiannya telah dipakai oleh beberapa wanita paling berpengaruh termasuk Hillary Clinton, Kate Middleton, Ivanka Trump, Priyanka Chopra Jonas dan Beyonce.

Mengubah sebuah syarikat dengan pendapatan tahunan berjumlah AS$105 juta kepada sebuah perusahaan neutral karbon adalah satu usaha yang mencabar, namun Dongre tidak pernah berasa takut untuk menghadapi cabaran yang timbul.

Pereka fesyen Anita Dongre (kiri) berinteraksi dengan pekerja di kilangnya di pinggir bandar Mumbai. – AFP
Seorang wanita menjahit kain di kilang pereka fesyen Anita Dongre di pinggir bandar Mumbai. – AFP

Apabila beliau memulakan perniagaan pada usia 23 tahun, berbekalkan dua mesin jahit dan pekerja yang terdiri daripada dua tukang jahit lelaki, bekerja di beranda bilik tidur yang dikongsi bersama dua adik perempuannya, beliau adalah wanita pertama dalam keluarganya yang bekerja.

Hari ini, beliau berkata daripada semua pencapaiannya, beliau merasa sangat bangga dengan komitmen beliau bahawa tidak ada wanita yang datang mencari kerja akan dihalau dari pagar kilang empat tingkat yang dikendalinya.

“Saya melihat perjalanan saya dicerminkan dalam kehidupan mereka,” kata beliau, menekankan kepercayaan beliau bahawa ‘pemerkasaan ekonomi adalah satu-satunya cara seorang wanita yang boleh ditonjolkan oleh mereka.”

Selain menghasilkan lima jenama pakaian, barang kemas dan aksesori buatan tangan, yayasan beliau menyediakan latihan dan pekerjaan kepada lebih 250 wanita luar bandar, dengan rancangan untuk meliputi 30 buah kampung pada tahun 2025.

Nilai-nilai feminis telah menjadi ciri-ciri utama jenama beliau: pakaiannya sentiasa mempunyai kesemua saiz, sehingga XXL.

Walaupun apabila beliau menceburi pakaian pengantin, kempen iklannya mencabar norma-norma tradisional, tetapi beliau tetap memandang ke hadapan untuk terus berkembang.

“Adalah amat penting untuk saya menunjukkan seorang wanita yang tidak malu-malu – seseorang yang berani dan bergaya. Saya adalah wanita itu. Saya memandu kereta jip. Saya melamar suami saya,” kata beliau.

“Dunia tidak pernah adil kepada wanita…dan saya tidak selesa mempromosi idea regresif untuk menjual pakaian,” tambah beliau.

Keputusan beliau untuk menumpu pada wanita profesional bandar telah melihat jenama beliau mengaut keuntungan tatkala kuasa pembelian wanita meningkat di India.

“Timbul perasaan puas hati apabila berjalan memasuki kedai dan bertemu dengan wanita yang membeli pakaian saya. Apabila seorang pelanggan memberitahu saya ‘ saya memakai jaket anda ke temu duga pertama saya 15 tahun lalu dan saya mendapat pekerjaan itu’, saya rasa amat teruja,” kata beliau.

Beliau perlu bergantung pada semangat muhibah tersebut untuk memujuk pelanggan membeli belah dalam cara yang berlainan berbanding sebelumnya iaitu mengutamakan kemampanan dan fesyen perlahan daripada kepuasan segera.

Namun, tugas Dongre adalah sukar – apabila beliau bercakap tentang rekaan mesra alam sekitar lebih satu dekad lalu, tidak ramai yang menumpu perhatian. Hari ini, beliau berkata dengan lucu, “Saya berasa lega fesyen sekarang boleh menjadi alam mesra sekarang.”

Akan tetapi, cucian alam mesra masih merupakan risiko besar, jelas beliau.

“Anda tidak boleh mengambil fabrik mampan, tutupnya dengan labuci dan masih boleh menggelarnya mampan.”

Beliau adalah satu-satunya pereka fesyen India yang menyertai Gabungan Pakaian mampan (SAC), gabungan global yang terdiri daripada peruncit, jenama, pembekal, pekempen dan kumpulan pekerja yang memberikan anggota dengan alat untuk mengukur kesan alam sekitar terhadap aktiviti mereka.

SAC adalah pertubuhan tidak terikat, bermakna anggota mereka bertanggungjawab atas usaha mereka sendiri terhadap aktiviti mampan dan telus.

Bagi pihaknya, Dongre berkata beliau rasa beliau terdorong ‘untuk melakukan lebih banyak lagi’ mengenai isu alam sekitar.

Di kilangnya, sisa makanan kafeteria dijadikan kompos atau digunakan untuk menghasil biogas sementara air yang digunakan dalam penghasilan pakaian diproses semula dan dipam kembali ke dalam bilik mandi.

Jenama AND beliau yang lebih murah dan penggunaan fabrik seperti tencel – gentian terbiodegradasikan yang dibuat daripada pulpa kayu – sementara label mewah fesyen perlahan Grassroot memaparkan reka bentuk yang ditenun tangan dan disulam menggunakan tangan yang dihasilkan oleh pekerja India.

Namun komitmen ini untuk mengekalkan kemampanan serta memelihara kraf yang semakin pupus datang bersama risiko, sebagaimana yang disedari oeh Dongre.

“Cabaran terbesar adalah mendidik pengguna untuk menyokong usaha kami,” kata beliau.

Tambahan pula, adalah sukar untuk membayangkan bagaimana sebuah syarikat besar yang menggaji 2,700 orang dan bekerja dengan ribuan artisan boleh menjadi alam mesra tanpa menjejas keuntungannya.

Ia adalah pengorbanan yang sanggup dibayar oleh beliau.

“Syarikat tidak boleh didorong oleh keuntungan sahaja..idea memperoleh keuntungan dalam apa juga cara dan seterusnya memberikan jumlah yang besar kepada badan kebajikan, ia bukan mampan. Kenapa tidak membuat sumbangan kepada komuniti anda dijadikan fokus utama perniagaan anda?

“Sudah tiba masanya syarikat mengukur kejayaan mereka dari segi kemampanan, bukan keuntungan dan kerugian,” kata beliau. – AFP