Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Pereka Zimbabwe komited terap tradisi melalui fesyen

    BULAWAYO, ZIMBABWE – Di sebuah plot di pinggir Bulawayo, bandar kedua terbesar di Zimbabwe, dua wanita mengejar kambing Angora untuk mendapatkan bulu haiwan berkenaan.

    Selepas mengejar sebentar, kambing-kambing itu dimasukkan ke dalam kandang di mana seekor daripadanya diburu ke tepi sudut dan akhirnya ditangkap.

    Teriakan kambing kedengaran semasa wanita itu mencukur bulu haiwan itu dengan gunting bersaiz besar.

    Salah seorang wanita, Nkanyeziyethu Malunga, seorang pereka dan usahawan, menggunakan produk semula jadi termasuk bulu kambing Angora, kulit dan bahan lain untuk membuat pakaian dan tekstil bergaya yang berkait rapat dengan alam sekitar dan tradisi.

    Malunga ialah pengasas dan pengarah kreatif Ganu, sebuah jenama yang menyokong penggunaan sistem pengetahuan orang asli dalam pengeluaran tekstil dan pakaian moden.

    Nkanyeziyethu Malunga (kiri), memeriksa bulu kambing. – Xinhua
    Nkanyeziyethu Malunga, seorang pereka fesyen, menunjukkan salah satu karyanya di Bulawayo, Zimbabwe. – Xinhua

    “Jadi saya menggunakan pengetahuan yang saya warisi daripada nenek dan ibu saya, saya menggunakannya dalam fesyen dan tekstil, tetapi saya menggabungkannya dengan cara yang menarik bagi generasi saya,” kata Malunga kepada Xinhua.

    Matlamatnya adalah untuk mengekalkan pengetahuan tradisional dengan menginovasi bahan-bahan yang sudah tersedia dalam masyarakat.

    “Ibu saya sering menghantar kami ke kawasan luar bandar saat kami membesar, dan di sanalah kami dapat melihat nenek saya membuat pelbagai jenis kraf dan di situlah tercetusnya inspirasi dalam diri saya,“ kata pereka itu.

    Semasa lawatan ke kawasan luar bandar itulah dia menyaksikan cara membuat pakaian menggunakan bahan semula jadi termasuk bulu kambing.

    Kambing Angora menghasilkan serat berkilat yang dikenali sebagai mohair yang tahan lama dan berdaya tahan.

    Kambing betina dan anaknya menghasilkan bulu yang lebih lembut dan selesa untuk badan, manakala kambing jantan menghasilkan bulu yang lebih keras yang digunakan untuk membuat permaidani dan perabot lembut.

    Di samping itu, mohair menyerap pewarna dengan sangat baik. Pewarna tersebut disediakan oleh pembekal dari kawasan luar bandar dan kebanyakannya berasaskan tumbuhan.

    Malunga berkata proses pengeluaran adalah keseluruhan rantaian nilai daripada gembala kepada wanita menenun dan sehingga produk sampai ke pasaran. Pereka bentuk itu berkata kerjayanya dalam fesyen dan tekstil juga diilhamkan oleh keperluan untuk berkongsi identiti budayanya.

    “Sebahagian besar daripada saya ingin berkongsi naratif saya tentang maksud fesyen Afrika, maksud menjadi seorang warga Afrika juga, dan dengan itu dapat berkongsi zaman kanak-kanak saya, dapat berkongsi warisan saya, dapat berkongsi budaya saya dengan dunia,” jelasnya.

    Rahsianya ialah kebolehan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh daripada orang tua dan menggabungkannya dengan cara yang menarik, terutamanya kepada golongan muda.

    “Anda tidak boleh salah dengan fesyen, jadi saya terpaksa menggabungkan sejarah saya, warisan saya, budaya saya melalui fesyen dan tekstil dengan kaedah tradisional,” katanya.

    Walaupun menggabungkan tradisi dengan fesyen moden mungkin kedengaran berlawanan dengan intuitif, pereka berbakat ini mempunyai caranya untuk menggabungkan yang lama dengan yang baharu.

    “Cucu-cicit saya akan mewarisi sesuatu yang saya gunakan sekarang ini dan mereka akan menerapkannya dengan cara yang relevan mengikut generasi mereka, dan itulah cara anda mengekalkan sesuatu yang tetap relevan untuk bertahun-tahun lamanya,” kata Malunga. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...