Perempuan maut nahas jalan raya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Seorang perempuan penduduk tetap meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di kawasan lebuh raya Seria menghala ke Lumut, hari ini.

Menurut Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Penguasa Polis Handrie bin Haji Amin, pihak polis menerima panggilan kecemasan di talian 993 pada pukul 8:05 pagi daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

Manakala itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataannya pula melaporkan bahawa lapan anggota dan dua buah jentera dari Balai Bomba Seria dengan diketuai oleh SO Haji Abdulatif bin Haji Badar telah dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8:18 pagi.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan perkakas khas dan seterusnya diserahkan kepada pihak paramedik yang hadir.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait untuk rawatan lanjut. Doktor yang bertugas telah mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala.

Menurut Penguasa Polis Handrie, punca kemalangan masih dalam siasatan namun makluman awal yang diterima menyatakan kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan semasa hujan lebat.

Sehubungan itu, PPDB mengingatkan orang ramai supaya memandu dengan had yang ditetapkan terutama sekali sewaktu hujan lebat.

JBP dalam kenyataannya pula menyarankan pengguna jalan raya agar sentiasa lebih berhati-hati serta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya seperti arahan papan tanda keselamatan dan lampu isyarat, memberikan tumpuan dan berwaspada ketika memandu, menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu, peka dan awas terhadap perubahan alam sekeliling seperti hujan, jalan licin dan penglihatan menjadi terhad serta sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya lain bagi mengelakkan sebarang kemalangan.

Anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa nahas maut berkenaan. – Gambar serahan JBP
Keadaan kereta yang terlibat dalam nahas jalan raya di Daerah Belait, kelmarin. – Gambar serahan PPDB