Perempuan Iban lafaz Dua Kalimah Syahadah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 8 OKT – Seorang remaja perempuan berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis yang diadakan di berek kediaman, Jalan Lorong Bolkiah, Seria, malam tadi.

Majlis pengislaman Jennifer Jacqline anak Seley, 18, yang memilih nama Islamnya sebagai Siti Nur Marsyah Alisyah binti Abdullah Seley, telah dilaksanakan di hadapan Pembantu Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.

Hadir menyaksikan majlis penuh keberkatan berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Awang Murdini bin Haji Hassan yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.

Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyampaikan cenderahati kepada saudara baharu berkenaan sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Muhammad Rushdi bin Abdullah Jantan.

Menurut statistik daripada Pusat Dakwah Islamiah (PDI) cawangan Daerah Belait, seramai 49 orang telah memeluk Islam di Daerah Belait dari Januari hingga September tahun ini, manakala itu, tahun lalu mencatatkan 74 pengislaman.

Siti Nur Marsyah Alisyah ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah. – Gambar oleh PDI KB