Pergerakan terhad antara zon di Sarawak bermula 1 hingga 14 Ogos

KUALA LUMPUR, 27 JULAI – Pergerakan perjalanan antara zon kuning/merah dan zon hijau di Sarawak, akan dihadkan dari 1 hingga 14 Ogos, sebagai langkah mengekang penularan COVID-19 di negeri itu, khususnya di bandar raya Kuching.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini susulan permohonan kerajaan negeri itu dalam mengambil langkah tegas dan proaktif, untuk mengekang wabak itu yang semakin meningkat di Sarawak.

Had pergerakan perjalanan itu melibatkan dua zon iaitu zon satu (zon kuning/merah COVID-19) melibatkan bahagian Kuching, Serian dan Samarahan, sementara zon dua (zon hijau) merangkumi bahagian Seri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Beliau menjelaskan mana-mana individu yang ingin bergerak antara zon, perlu mendapat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu, manakala pergerakan dalam zon adalah dibenarkan.

“Kerajaan negeri Sarawak juga telah bersetuju mengurangkan jumlah penerbangan dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, ke Sarawak mulai 1 sehingga 14 Ogos,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, bermula hari ini PDRM akan mengambil tindakan tegas menangkap dan mendakwa di mahkamah, individu yang diwajibkan menjalani kuarantin di rumah tetapi gagal melakukan ujian saringan kedua COVID-19. – Bernama