Perginya bintang poker Rusia

MOSCOW, 13 JUN – Seorang bintang poker internet Rusia berusia 26 tahun dengan beribu-ribu pengikut Instagram ditemui mati akibat terkena kejutan elektrik di pangsapurinya di Moscow, lapor media Rusia hari ini.

Liliya Novikova, dikenali online sebagai Liya dan Liay5, ditemui tidak bernyawa dalam tab mandi oleh seorang jiran selepas saudaranya tidak dapat menghubunginya, lapor akhbar Moskovsky Komsomolets.

Pengulas poker Ilya Gorodetsky memberitahu saluran Ren TV bahawa Novikova mati selepas menyentuh pengering rambut dengan tangan basah.

Jawatankuasa siasatan bandar Moscow, yang menyiasat kejadian yang membawa maut, berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa seorang wanita yang dilahir pada 1992 ditemui dalam bilik mandinya dengan ‘tanda-tanda terkena kejutan elektrik,’ namun tidak mengenal pasti mangsa.

Kumpulan rasmi Novikova di rangkaian media sosial popular VK menyiar satu pengumuman semalam mengatakan Liya telah mati semalam.

“Satu kemalangan. Dia tidak lagi di sini.

“Dia telah meninggalkan kami.” – AFP