Perginya kambing yang berkawan dengan harimau

MOSCOW, 8 NOV – Seekor kambing Rusia bernama Timur dengan persahabatan luar biasanya dengan seekor harimau menjadikannya terkenal di seluruh dunia, telah mati, kata pengarah taman safari di mana pasangan itu tinggal, hari ini.

“Jantung Timur berhenti berdegup pada 5 November,” beritahu Dmitry Mezentsev, pengarah taman safari di luar pelabuhan Pasifik Vladivostok, kepada AFP.

Kambing jantan itu, dipercayai berusia lima tahun, dibakar dan akan dikebumikan ‘dengan penuh penghormatan’, kata penjaga Elvira Golovina dalam satu kenyataan.

Kambing itu mati secara semula jadi namun kesihatannya merosot selepas satu perkelahian dengan seekor harimau Siberia yang dijadikan kawan pada 2015, kata Mezentsev.

Dalam satu kisah yang menawan hati Rusia, Timur dihantar ke taman safari sebagai mangsa hidup untuk Amur harimau Siberia.

Namun harimau itu tidak menyentuh kambing jantan itu apabila ia memasuki kurungan pada akhir 2015 disebabkan kambing itu tidak menunjukkan sebarang rasa takut.

Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan selepas itu. Timur dan Amur tidur dalam kurungan yang sama, makan dan bermain bersama. Harimau itu cuba mengajar kambing itu bagaimana menangkap mangsa. Mereka juga bermain menanduk dan mengejar sesama sendiri.

Namun persahabatan mereka menjadi dingin apabila kambing itu menjadi semakin berani dan mulai mencabar harimau itu.

“Timur mengacau harimau itu kira-kira sebulan,” kata Mezentsev.

Pada Januari 2016, harimau itu hilang sabar selepas kambing memijaknya. Ia menyambar Timur dan membalingnya turun sebuah anak bukit. – AFP