Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pergolakan hidup masyarakat Serbia Roma

    BELGRADE – Bekim Gashi dan Kasandra Cac hidup berjiran di Orlovsko Naselje, sebuah kawasan Roma di Belgrade, Serbia.

    Namun meskipun seorang daripada mereka mengimpikan anaknya menjadi doktor, seorang lagi tidak melihat ‘masa depan cerah’ bagi anaknya. Dunia mereka hanya beberapa meter sahaja namun sangat berbeza.

    Gashi yang berusia 32 tahun telah berjaya mendapatkan perumahan sosial untuk keluarganya selepas terpilih dalam senarai-senarai permohonan, manakala di atas bukit kawasan yang sama, Cac yang berusia 20 tahun masih hidup di sebuah kem yang semakin memburuk dan rosak.

    Walaupun kedua-dua mereka menjalani kehidupan yang berbeza, namun mereka berdua adalah di antara ribuan penduduk Roma yang berada di Serbia, seperti di Balkan, yang mana dikatakan terdedah kepada diskriminasi terhadap hampir kesemua arus kehidupan mereka, menurut laporan Suruhanjaya Eropah pada tahun 2016.

    Daripada segi penginapan dan pendidikan, apatah lagi untuk mendapatkan pekerjaan dan kesihatan, Roma di Serbia menghadapi ketidakadilan. Meningkatkan isu kesedaran tentang isu-isu seperti ini merupakan salah satu tujuan Hari Roma Antarabangsa yang mana telah diadakan baru-baru ini dan ia juga bertujuan untuk merayakan budaya Roma.

    Pada tahun 2016, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa sekitar 90 peratus kanak-kanak di kawasan permukiman Roma di Serbia bergelut dengan isu kemiskinan. – AFP

    Komuniti Roma Serbia secara rasmi dianggarkan berjumlah 150,000 akan tetapi kumpulan hak dan Majlis Eropah menganggarkan jumlah sebenar menjadi tiga hingga empat kali lebih tinggi.

    Dana EU

    Setelah bertahun-tahun menghabiskan masa mereka di salah sebuah daripada 500 hingga 600 kem penempatan sementara di Serbia, Gashi dan keluarganya kini tinggal di sebuah apartmen 60 kaki persegi di bangunan perbandaran. Ia dibina pada tahun 2015 dengan bantuan dana dari Kesatuan Eropah. Skim EU telah disediakan untuk membantu sekitar 170 buah keluarga, di mana 12 daripadanya tinggal di bangunan Gashi.

    Dia adalah salah seorang dari Roma yang bernasib baik, berasal dari kem Jabucki Rit di pinggir ibu kota, Belgrade akan tetapi ada sedikit perumahan yang tersedia untuk memenuhi keperluan masyarakat Roma Serbia.

    ‘Saya tidak boleh belajar’

    Cac tinggal di salah satu daripada kira-kira 20 kontena yang terletak di sebuah kem tanpa kemudahan air dan dikelilingi dengan sampah sarap. Dia mengharapkan kedua-dua anak perempuannya mendapat hidup yang lebih baik.

    “Kami tidak akan mungkin hidup lama di kawasan ini,” katanya kepada AFP. Cac, anak perempuannya, suami dan empat orang lagi anaknya hanya menerima 100 euro (AS$123) daripada manfaat sosial sebulan sekali.

    Selepas musim sejuk berlalu, Cac sangat cemas akan keadaan musim panas kerana tempat kediaman mereka akan menjadi lebih panas dan sukar untuk mereka bernafas disebabkan keadaan kontena tersebut yang diperbuat daripada logam.

    Kem tersebut sepatutnya menjadi satu penyelesaian sementara apabila ia dibina 10 tahun yang lalu. Penagih dadah telah membakar tempat-tempat mereka membersihkan diri dan beberapa lagi tandas mudah alih yang ditempatkan di kawasan itu juga semakin tidak terurus dan sangat kotor.

    Semasa waktu persekolahan, ramai kanak-kanak dilihat bermain di kawasan-kawasan kontena tersebut.

    “Saya ingin menamatkan sekolah menengah, akan tetapi saya tidak boleh belajar di sini,” kata Daniela Markovic yang berusia 17 tahun. Hanya segelintir kanak-kanak sahaja yang mampu belajar sejauh ini.

    Menurut Ljuan Koka, Pusat Pendidikan Roma dan Masyarakat Etnis (CEREZ) yang berpusat di Belgrade, hanya 15 peratus dari masyarakat Roma telah menamatkan persekolahan rendah mereka dan ini bermaksud pada usia 15 tahun, berbanding 93 peratus daripada semua murid penduduk Serbia.

    Kanak-kanak dari masyarakat ini akan keluar dari kawasan pondok mereka dan ditutupi dengan lumpur dan ini bermakna bahawa mereka berasal dari kawasan setinggan serta kotor. – AFP

    Hanya tujuh hingga lapan peratus kanak-kanak masyarakat Roma melanjutkan pendidikan mereka di sekolah menengah.

    Manakala di flatnya, Gordana Gashi, mempunyai komputer yang telah disediakan oleh pihak berkuasa bandar kepada keluarga yang tinggal di bangunan itu untuk kemudahan anak-anak mereka yang menghadiri persekolahan.

    “Selepas sekolah, kawan-kawan saya akan datang ke rumah saya untuk belajar bersama-sama,” kata Gashi lagi kepada media.

    Semasa dia tinggal di kawasan kem Jabucki, dia sering ketinggalan untuk pergi ke sekolah. “Kami tinggal di kawasan lumpur, di rumah yang terdiri daripada papan dan juga plastik,” kata ayahnya lagi, Bekim, yang mendapat upah bekerja dengan pihak berkuasa perbandaran membantu Roma dengan pentadbiran yang berkaitan dengan perkara-perkara dan masalah-masalah dalam bangunan.

    Prasangka dan penghinaan

    Kanak-kanak dari masyarakat ini akan keluar dari kawasan pondok mereka dan diselubungi lumpur, bermakna mereka berasal dari kawasan setinggan yang kotor dan berdebu, sehingga membawa ketidakselesaan bagi mereka untuk pergi ke sekolah.

    “Kini mereka kelihatan seperti orang lain dan tidak lagi terpinggir,” kata Tatjana Cac, yang berusia 41 tahun, menceritakan kisah prasangka yang berlaku di antara mereka. “Sesetengah mereka ketawa melihat anak-anak kami, menghina pakaian mereka dan kekurangan pendidikannya,” tambahnya lagi.

    Pada tahun 2016, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan bahawa sekitar 90 peratus kanak-kanak di kawasan permukiman Roma di Serbia bergelut dengan isu kemiskinan.

    “Kadar kematian anak damit di bawah lima tahun adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada penduduk umum, 15 peratus daripada anak-anak Roma dilahirkan tidak sempurna, seperlima kurang gizi dan hanya 13 peratus yang telah berjaya diimunisasi sepenuhnya,” kata PBB dalam satu kenyataan.

    Persaingan antara Roma

    “Sering kali pergaduhan berlaku di antara kami, jiran tidak suka kami dan saya memahami mereka,” kata salah seorang penduduk kem tersebut, Marijan Filipanovic.

    “Mengapa mereka mempunyai rumah dan tidak kami? Lelaki berusia 41 tahun itu terus berkata sambil menunjuk ke bangunan di bawah. Bagi Koka, program penempatan semula yang telah menimbulkan ‘persaingan dan konflik’ di antara Roma, seperti meletakkan tampalan pada kaki kayu.

    “Lingkaran kemiskinan masih terus berlarutan, sekali pun pihak berkuasa bandar berusaha keras untuk memulihkan mereka,” kata Koka lagi.

    Dia berkata bahawa pusat kitar semula telah dirancang untuk Orlovsko Naselje dan akan dapat menyediakan pekerjaan untuk Roma akan tetapi proses itu sangat perlahan untuk dijalankan, walaupun terdapat subsidi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda