Pergolakan hidup seorang isteri

Oleh Ak Zaki Kasharan

DRAMA bersiri Kamar Kamariah yang mengisahkan mengenai kehidupan sepasang suami isteri yang mengisi slot Akasia di TV3 bermula beberapa hari yang lalu dan diterbitkan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Drama yang diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin dibintangi oleh barisan pelakon hebat dan ternama seperti Fizz Fairuz, Nabila Huda, Syafie Naswip, Aidil Aziz, Engku Faridah, Shuhanty Hanafiah, Zetty Shahibullah, Ismail Yaacob, Rose Aida dan ramai lagi.

Kehidupan suami isteri bahagia pada pandangan orang lain namun isterinya derita sepanjang kehidupan bersama suaminya atas kekejaman dan kezaliman Murad kepada isterinya, Kamariah tidak pernah diketahui orang sekeliling.

Kamariah terpaksa menjadi seorang isteri yang patuh dan taat dengan segala perintah serta arahan suaminya. Hampir setiap hari dipukul dan disepak, namun dia masih bertahan.

Wanita teraniaya

Kamariah merupakan wanita dianiaya sejak muda lagi sehinggakan dia pernah diperkosa oleh lelaki mabuk yang tidak mengaku perbuatannya dan Kamariah hanya menganggap kejadian itu balasan tuhan atas perkara maksiat yang dilakukannya. Kamariah berkahwin dengan Murad.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan Murad yang merupakan seorang lelaki alim dan berhati mulia di sisi pandangan orang kampung. Namun sebaliknya Murad berselindung menjalankan perniagaan kelab malam.

Murad terpaksa berkahwin dengan Kamariah atas pilihan ibunya dan konflik bertambah apabila Murad mengetahui kisah silam Kamariah sehinggalah suatu hari Kamariah melahirkan anak yang dianggap bukan darah dagingnya. Keadaan itu menyebabkan Murad menjadi baran dan mendera Kamariah.

Namun Kamariah terpaksa merahsiakan yang dia menjadi mangsa deraan Murad  kerana Kamariah sentiasa bimbang Murad akan membunuh anaknya. Di depan keluarga, Murad melayan Kamariah dengan penuh kasih saying.

Adakah Kamariah akan dapat bertahan dengan perangai suaminya, ikuti perjalanan hidup Kamariah dalam drama bersiri Kamar Kamariah di slot Akasia di TV3.