Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Program Keugamaan Belia di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Al-Minhaaj Centre buat julung kalinya telah mengadakan Seminar Asas Kefahaman Tafsir Al-Quran bagi Belia sempena Sambutan Nuzul Al-Quran 1439H yang berlangsung Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI).
Hadir selaku tetamu kehormat semasa program sehari itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Seminar telah disertai oleh 164 orang peserta yang mewakili 21 kumpulan belia Program Keugamaan Belia di bawah KHEU, persatuan-persatuan, pelajar-pelajar sekolah dan orang perseorangan.
Pemangku Pengarah PDI selaku Pengerusi Bersama Program Keugamaan Belia di bawah KHEU, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan ucapannya berkata, dengan adanya kerjasama daripada Al-Minhaaj Centre yang juga merupakan salah sebuah kumpulan yang bernaung dengan Program Keugamaan Belia berkenaan, akan memberikan peluang keemasan kepada syarikat tersebut untuk menunjukkan kemampuannya dalam mengendalikan program-program ilmu di peringkat kementerian, nasional dan yang seumpamanya.
“Lebih-lebih lagi, syarikat ini dibarisi oleh para belia da’ie yang sentiasa aktif mengadakan sesi ceramah, tazkirah di masjid, surau, balai ibadat, media massa dan agensi-agensi yang memerlukan khidmat mereka.”

Dalam seminar itu, dua kertas kerja bertajuk ‘Sejarah dan Pengenalan Ilmu Tafsir’ dan ‘Tadabbur Al-Quran’ dibentangkan oleh Penolong Professor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya.
Seminar bertujuan bagi memberi kefahaman yang betul mengenai Tafsir dan Tadabbur Al-Quran di samping memperkenalkan buku tafsir yang muktabar dan sesuai dijadikan rujukan.
“Mudah-mudahan seminar yang diadakan pada hari ini akan menjadikan satu titik permulaan yang sangat baik atau ‘bidayah toyyibah’ untuk Syarikat Al-Minhaaj Centre khususnya dan mana-mana kumpulan belia yang bernaung di bawah Program Keugamaan Belia untuk bekerjasama dalam mengungkayahkan aktiviti-aktiviti yang seumpama ini pada masa hadapan,” tambah Haji Abdul Rajid.
Turut hadir pada seminar tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Haji Serudin bin Haji Timbang serta pegawai-pegawai kanan KHEU.