Perhalusi perbuatan ibadah dengan betul

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Sebagai usaha untuk memeriahkan lagi acara Bandarku Ceria, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengadakan Program Mudahnya Sembahyang bersempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Pengisian program itu adalah berasaskan kepada sembahyang dan di samping itu juga diselitkan dengan pameran, klinik taharah, klinik Surah Al-Fatihah, kuiz, eksplorasi solat, peraduan tarik kalat dan bazar jualan daripada jabatan-jabatan di KHEU.

Majlis dimulakan dengan acara berjalan kaki di kawasan Taman Mahkota Jubli Emas yang diketuai dan disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Di majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin telah menyempurnakan pelepasan peserta-peserta eksplorasi solat seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dan berkunjung ke pameran serta aktiviti-aktiviti yang diadakan.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyaksikan dan mendengar penerangan mengenai pameran sempena Program Mudahnya Sembahyang bagi memeriahkan Sambutan Israk Mikraj pada acara Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika diberikan penerangan mengenai dengan pameran yang diadakan semasa Program Mudahnya Sembahayang.
Para peserta yang menyertai acara berjalan kaki di kawasan Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Program itu disasarkan kepada seluruh warga KHEU dan pengunjung yang hadir semasa acara Bandarku Ceria yang dikendalikan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada setiap Ahad di sekeliling Bandar Seri Begawan.

Ia diadakan dengan matlamat untuk menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Beginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sangat menitik beratkan tentang kewajipan sembahyang walau dalam apa jua keadaan dan masa dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melaksanakan sembahyang dengan betul daripada segi teori dan praktikal termasuk bagi orang sakit dan kelainan upaya, mengetahui cara berwuduk dan bertayamum dengan sempurna serta penggunaan debu yang betul serta memberi kefahaman orang awam yang masih samar dengan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah.

Di samping itu, pameran juga mengetengahkan Skim Tilawah Al-Quran Remaja, Jabatan Pengajian Islam, KHEU yang bergiat aktif untuk melahirkan pembaca-pembaca Al-Quran remaja berpotensi yang dihasratkan sebagai pelapis qari dan qariah Negara peringkat negara dan antarabangsa. Skim itu mula diperkenalkan pada 1997.