Perhentian bas dilengkapi teknologi perangi COVID-19

SEOUL, 13 OGOS – Korea Selatan telah melancarkan teknologi baharu dalam kempen memerangi koronavirus, memperkukuhkan perhentian bas dengan pintu pemeriksaan suhu dan lampu disinfektan ultraungu.

Sepuluh kemudahan canggih telah dipasang di daerah timur laut Seoul, menawarkan perlindungan daripada hujan monsun, bahang panas cahaya matahari dan koronavirus.

Untuk masuk, penum-pang mesti berdiri di depan kamera imej termal automatik, dan pintu hanya akan buka sekiranya suhu adalah di bawah 37.5 darjah Celsius.

Satu kamera berasingan dipasang lebih rendah untuk menguji kanak-kanak.

Di dalam pondok berdindingkan kaca, yang menelan kos pembinaan 100 juta won setiap satu, sistem penyaman udara dipasang dengan lampu ultraungu untuk membunuh virus pada masa yang sama ia menyejukkan udara.

Satu dispenser menyediakan sanitasi tangan, dan pengguna dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa, sementara mengamalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter.

“Kami telah memasangkan kesemua langkah anti-koronavirus dalam pondok ini,” beritahu Kim Hwang-yun, pegawai daerah yang bertanggungjawab terhadap projek Smart Shelter kepada AFP.

Sejak ia dipasang pada minggu lalu, setiap pondok telah digunakan oleh 300 hingga 400 orang sehari, kata Kim.

Untuk memastikan penumpang tidak ketinggalan bas mereka, satu panel memaparkan masa ketibaan bas sementara skrin menyiarkan secara langsung lalu lintas di luar. – AFP

Seorang lelaki (kanan) memeriksa suhu badannya di depan kamera imej termal untuk memasuki pondok bertujuan melindungi penumpang daripada hujan, cuaca panas dan koronavirus, di sebuah perhentian bas di Seoul kelmarin. – AFP