Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Perhentian bas lebih selesa, terbuka

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Tempat perhentian bas awam baharu yang terletak di kawasan Jalan Kianggeh dan Jalan McArthur di ibu negara telah mula digunakan kelmarin, berikutan penutupan sepenuhnya Bangunan Letak Kereta Bertingkat yang menempatkan Terminal Bas Bandar Seri Begawan.

    Beberapa pengguna bas awam yang ditemui hari ini, rata-ratanya berkata bahawa tempat perhentian bas baharu itu lebih selesa dan ia berkonsepkan terbuka.

    Salah seorang pengguna, Dayang Hasnah binti Bujang dari Kampung Saba Darat B telah menggunakan perkhidmatan bas awam sebagai salah satu pengangkutan ke destinasi yang hendak dikunjungi.

    Beliau berkata, dengan pemindahan perhentian bas awam itu, ia akan memberi keselesaan kepada pengguna dengan suasana yang terbuka dan teratur.

    Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini turut mengongsikan waktu operasi perkhidmatan bas-bas awam berkenaan akan bermula dari pukul 6 pagi hingga 8 malam dan mengikut laluan-laluan yang telah ditetapkan.

    Kemudahan perhentian bas awam yang baharu tersebut adalah hanya untuk perkhidmatan mengambil (pick-up) dan menurunkan (drop-off) orang ramai.

    JPD turut mengingatkan kepada orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan semasa berada di perhentian-perhentian bas terbabit dan mengikut amalan-amalan terbaik.

    Antara aspek keselamatan itu adalah dengan menggunakan laluan khusus bagi penjalan kaki semasa menyeberangi jalan raya terutama semasa menuju ke perhentian bas.

    Selain itu, mengamalkan sikap bertolak ansur semasa beratur menunggu bas, berhati-hati semasa naik atau turun dari bas dan memberikan keutamaan terlebih dahulu kepada penumpang yang lebih memerlukan di samping menjaga kebersihan persekitaran dan prasarana kemudahan perhentian bas dari semasa ke semasa.

    JPD turut menekankan kepada orang ramai supaya sentiasa mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) COVID dalam menangani pengawalan penularan pandemik ini.

    Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah meng-hubungi JPD melalui talian 2451980 atau 7181641 (Whats-App), Talian Darussalam 123, atau e-mel ke info_ltd@jpd.gov.bn.

    Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.jpd.gov.bn dan Instagram @jpd.bn bagi maklumat lebih lanjut.

    Tempat perhentian bas awam baharu di Jalan Kianggeh yang mula digunakan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Para pengguna perkhidmatan bas awam menggunakan tempat perhentian baharu di kawasan Jalan Kianggeh.
    Dayang Hasnah telah menggunakan perkhidmatan bas awam sebagai salah satu pengangkutan untuk ke destinasi yang hendak dikunjungi.
    Orang ramai telah mula menggunakan tempat perhentian bas tersebut dengan lebih teratur.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...