Perhimpunan 60 tahun MINI meriah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Persatuan Pemilik MINI Brunei (BMOA) baru-baru ini telah terlibat dalam perhimpunan 60 tahun MINI di Melaka melalui jemputan daripada Malacca Mini Owners Club (MMOC) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-11 Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO.

Mengetuai rombongan BMOA ialah presidennya, Awang Romzi bin Haji Mohd Yusof dan disertai Haji Johri bin Haji Tuah, Haji Amdani bin Haji Ismail dan Awang Ramlee bin Haji Mohd Yusof.

MMOC meluaskan jemputan kepada pemilik kenderaan MINI dari Brunei, Sabah, Sarawak, dan Kuching, bersama-sama Negeri Sembilan, Johor, Senawang, serta Jepun, Taiwan, Filipina, dan Singapura.

Perhimpunan itu bertujuan untuk mengenali pemilik-pemilik kenderaan klasik dan baharu MINI dari negara-negara yang berlainan, di mana acara tersebut telah menyaksikan penyertaan lebih 400 kenderaan MINI.

Acara juga dimeriahkan lagi dengan sambutan hangat daripada pelbagai kumpulan yang mengambil bahagian dalam upacara pembukaan rasmi dan pertandingan-pertandingan seperti Best of MINI, Best of Moke, Best of Morris, Best of the Best MINI dan Best of Rocker Cover.

Acara telah disimpulkan dengan penyampaian cenderahati dan hadiah oleh presiden MMOC kepada presiden-presiden kelab dari setiap negara yang hadir serta persembahan daripada band Melaka.

BMOA aktif melawat ke negara-negara luar pada tahun-tahun kebelakangan ini termasuk di Miri, Sarawak, Lawas, Kota Kinabalu dan Sabah, Malaysia serta Bandung, Indonesia.

Ahli BMOA yang terlibat dalam perhimpunan 60 tahun MINI di Melaka, baru-baru ini.