Perhimpunan agung AIPA ke-41 buka tirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini, telah menyertai Majlis Pembukaan Rasmi Perhimpunan Agung Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-41 secara dalam talian dihoskan oleh Perhimpunan Nasional Republik Sosialis Vietnam.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, perhimpunan yang membawa tema ‘Diplomasi Parlimen untuk Komuniti ASEAN yang Padu dan Responsif’ bermula hari ini hingga 10 September dengan dihadiri oleh 10 buah negara AIPA dan dirasmikan oleh Presiden Perhimpunan Nasional Republik Sosialis Vietnam dan Presiden AIPA, Puan Yang Terutama Nguyen Thi Kim Ngan.

Pada perasmian itu, Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib berserta 19 ahli MMN.

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

PYT Nguyen Thi Kim Ngan semasa berucap pada perasmian itu, menyatakan bahawa walaupun pandemik COVID-19 telah mempengaruhi kehidupan sosioekonomi dan politik di negara-negara seluruh dunia, perhimpunan agung tahun ini membuktikan hasil usaha parlimen bekerjasama dengan ASEAN dalam mengatasi kesulitan dan pandemik ini.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa majlis perasmian Perhimpunan Agung AIPA ke-41.
Majlis perasmian Perhimpunan Agung AIPA ke-41 telah diadakan secara dalam talian, kelmarin.
Antara ahli-ahli MMN yang menyertai majlis perasmian Perhimpunan Agung AIPA ke-41 secara dalam talian, kelmarin.

Puan Yang Terutama juga mengetengahkan bahawa tema AIPA tahun ini bersama tema ASEAN 2020 menunjukkan persetujuan penuh AIPA dan anggota parlimen serta penghargaan yang tepat pada masanya terhadap usaha kerajaan dan rakyat ASEAN dalam mengatasi segala kesulitan, mempromosikan perpaduan, kerjasama, untuk kemakmuran dan lestari Komuniti ASEAN.

Sebagai peranan parlimen, adalah perlu untuk bekerjasama rapat dengan pemerintah negara untuk mencari segala cara agar dapat menghentikan wabak COVID-19 dengan segera, memulakan pemulihan dan pembangunan ekonomi, memulihkan kestabilan kehidupan masyarakat, dan meningkatkan lagi kerjasama antara negara-negara ASEAN semasa dan selepas wabak.

Sementara itu, Presiden Negara Republik Sosialis Vietnam, TYT Nguyen Phu Trong yang turut menyampaikan ucapan dengan mengatakan bahawa sejak penularan pandemik COVID-19, seluruh dunia termasuk rantau ASEAN menghadapi perubahan dari aspek globalisasi, hubungan dan integrasi antarabangsa yang memerlukan penyesuaian terhadap keadaan dan norma baharu ini.

Menurut Tuan Yang Terutama, komuniti ASEAN dan AIPA perlu menekankan pentingnya perpaduan dan ketahanan untuk bertindak balas menghadapi situasi dalam memenuhi aspirasi rakyat, perdagangan dan rakan antarabangsa yang terus meningkat dan berkembang.

Sebagai penggubal undang-undang, anggota parlimen merupakan wakil penting kepada masyarakat. Selama 43 tahun, AIPA telah memainkan peranan sepenuhnya untuk bergabung dengan ASEAN dan memberikan sumbangan praktikal kepada tonggak pembangunan ASEAN.

Perdana Menteri Vietnam dan Pengerusi ASEAN, TYT Nguyen Xuân Phúc dalam ucapannya menyatakan, ASEAN telah memberikan dukungan sepenuhnya dalam menangani pandemik COVID-19 dan berharap parlimen AIPA dan ASEAN akan terus memainkan peranan penting untuk memperkukuh kedamaian serta keamanan dalam membangun ikatan mesra antara negara-negara ASEAN di rantau ini.

Justeru, ia akan membangun pertumbuhan pesat dan merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2025. ASEAN yakin dengan usaha bersama pemerintah dan parlimen anggota, ASEAN akan terus maju terus ke jalan untuk membangun komuniti solidariti, ketahanan, kohesif dan responsif, untuk keamanan, pembangunan, dan kemakmuran.

Pada Sidang Sesi Plenari Pertama yang dipengerusikan oleh Presiden AIPA, speaker-speaker negara ahli AIPA telah dijemput untuk memberikan ucapan.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman dalam ucapannya telah menyatakan bahawa tema Perhimpunan Agung AIPA ke-41 tahun ini adalah relevan dalam konteks menghadapi cabaran dan norma baharu yang menekankan kepada peranan parlimen serantau ASEAN sebagai suara rakyat dan pentingnya solidariti serta tindak balas yang cekap menghadapi isu-isu yang mendesak, sesuai dengan undang-undang antarabangsa.

Kesan pandemik terhadap kesihatan, pendidikan dan ekonomi pada asasnya telah mengubah cara kita menjalani kehidupan seharian. Walaupun negara sedang menghadapi cabaran namun adalah mustahak untuk mengekalkan pendekatan memandang ke hadapan dan memastikan kesinambungan kerja AIPA.

Dengan menegakkan semangat ASEAN yang sejati Unity in Diversity, AIPA akan dapat membantu ASEAN mengatasi apa jua cabaran dan bertindak pantas untuk masa depan.

Dalam memetik ucapan Yang Berhormat Pehin, beliau menyatakan bahawa anggota Parlimen AIPA perlu terus memupuk kerjasama antara pihak berkepentingan dengan mendorong pertukaran maklumat dalam mengurangkan kesan COVID-19, di samping mengakui cabaran pasca wabak dan merancang langkah pencegahan demi kepentingan rakyat.

Pada mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus menyokong usaha rakan-rakan ahli parlimen AIPA dalam menangani cabaran global serta serantau melalui perkongsian dan diplomasi.

Perhimpunan Agung AIPA ke-41 secara dalam talian ini akan bersidang selama tiga hari dan membincangkan isu-isu serantau termasuk isu wabak COVID-19 di peringkat Komiti WAIPA, Young Parliamentarians, ekonomi, politik, sosial dan organisasi. Sebanyak 29 agenda akan dibincangkan untuk diluluskan dalam kenyataan bersama.