Perhimpunan agung PBB secara maya

NEW YORK, 22 SEPT – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) tahun ini berlangsung dalam suasana yang berbeza apabila sidang kemuncak badan dunia itu diadakan secara maya.

Dewan persidangan PBB yang selama ini menjadi medan pidato dan perbahasan pemimpin dunia serta rundingan diplomasi, dibuka dalam keadaan ‘tenang’ hari ini yang diisi dengan seruan bagaimana dunia hendak menangani krisis COVID-19.

Buat pertama kali juga dalam sejarah, tiada konvoi kenderaan keselamatan dan motosikal pengiring ‘menghentikan’ kesibukan bandar Manhattan dan tiada juga ‘pertemuan’ yang menimbulkan spekulasi tidak berlaku.

Pemimpin dunia sebaliknya dijemput menyampaikan ucap utama mereka dalam bentuk rakaman yang akan diperdengarkan pada minggu depan dengan setiap negara dibenarkan menghantar seorang diplomat ke persidangan itu dengan perlu memakai penutup mulut dan hidung.

Presiden AS Donald Trump, sebagai pemimpin negara tuan rumah akan hadir menyampaikan ucapan di perhimpunan agung itu di hadapan diplomat asing berprofil rendah dan mungkin tidak dianggap sebagai strategi untuk memastikan dirinya dipilih semula dalam pilihan raya presiden, November ini.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres semasa berucap di ibu pejabat PBB semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA). – AP

Setiap tahun, UNGA mampu menarik kedatangan kira-kira 10,000 tetamu dari seluruh dunia, namun ia tidak dapat disaksikan kali ini selepas peraturan ketat dilaksanakan badan dunia itu bagi mencegah jangkitan COVID-19 yang setakat ini meragut 950,000 nyawa.

Setiausaha Agung Antonio Guterres ketika berucap pada perhimpunan itu menekankan mengenai koronavirus, berkata, “Hanya ada satu pemenang dalam konflik semasa pandemik iaitu virus itu sendiri.”

Beliau turut menyeru perpaduan global, terutama menangani pandmik, dan menyelar fahaman populisme dan nasionalisme kerana kegagalan mengekang virus itu dan menjadikan situasi semakin memburuk.

Manakala menyentuh mengenai perang persaingan Amerika Syarikat dan China beliau berkata, “Kita bergerak ke arah yang sangat berbahaya.

“Dunia tidak dapat bergerak ke masa depan dengan dua ekonomi terbesar dunia berbalah – di mana mereka mempunyai kapasiti perdagangan dan peraturan kewangan masing-masing serta kepandaian internet dan kecerdasan buatan,” kata Guterres. – AFP