Perhimpunan AIPA labuh tirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-41 telah melabuh tirainya, hari ini dengan majlis penutup yang dihoskan oleh Perhimpunan Nasional Republik Sosialis Vietnam secara dalam talian.

Terdahulu itu, sidang plenari kedua telah diadakan di mana mengetuai Negara Brunei Darussalam ialah Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib berserta 19 orang ahli MMN.

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

Perhimpunan Agung AIPA ke-41 secara dalam talian yang bersidang selama tiga hari telah meluluskan sebanyak 26 resolusi dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh ketua-ketua perwakilan ahli AIPA.

Agenda-agenda yang diluluskan adalah mengenai isu-isu serantau termasuk berkaitan pandemik COVID-19 di peringkat Komiti WAIPA, Young Parliamentarians, ekonomi, politik, sosial dan organisasi.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman ketika bergambar ramai bersama Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin dan 19 orang ahli MMN.

MMN akan menghoskan AIPA ke-42 selepas mengambil alih daripada Perhimpunan Nasional Republik Sosialis Vietnam dengan majlis Transfer of Office telah berlangsung semasa Majlis Penutup Perhimpunan Agung AIPA kali ke-41.

Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian Instrument of Transfer of Office iaitu penyampaian sebuah Gavel yang diterima oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam di Hanoi, Tuan Yang Terutama Pengiran Haji Sahari bin Pengiran Haji Salleh secara fizikal, sebagai wakil Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.

Negara Brunei Darussalam menjadi ahli kepada AIPA sejak 2009 dan akan menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Agung AIPA buat kedua kali pada tahun depan.

Pada majlis Transfer of Office, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman telah menyampaikan ucapan penerimaan sebagai presiden AIPA Ke-42.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa dalam masa yang penuh cabaran ini, adalah sangat penting untuk mengukuhkan lagi perkongsian dalam AIPA, dan juga untuk melibatkan rakan-rakan dialog secara strategik mengenai isu-isu yang menjadi perhatian bersama di rantau ASEAN dan antarabangsa.

Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa semasa Brunei menjadi presiden kepada AIPA, negara berharap dapat bekerjasama rapat dengan Sekretariat AIPA dan juga ahli parlimen AIPA untuk terus membina kerja baik dari masa lalu dalam memastikan terwujudnya visi dan aspirasi AIPA.

Beliau juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam akan terus berusaha untuk memenuhi apa sahaja cara yang ada dan bersesuaian pada masa depan dan memberikan komitmen terbaik untuk berusaha sedaya upaya semasa menjadi tuan rumah dan selaku presiden AIPA ke-42.

Majlis Transfer of Office diakhiri dengan tayangan klip video mengenai Negara Brunei Darussalam.