Perhimpunan orang ramai antara faktor kluster di S’wak bertambah

KUCHING, 26 FEB – Perhimpunan orang ramai merupakan antara faktor utama kepada pertambahan jumlah kluster COVID-19 di Sarawak, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing.

Beliau berkata keadaan diburukkan lagi dengan unsur kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam amalan normal baharu seperti penjarakan fizikal, tidak memakai penutup mulut dan hidung atau cara pemakaiannya yang tidak betul selain tidak mengamalkan kebersihan tangan.

“Orang ramai di Sarawak adalah diingatkan bahawa pada ketika ini virus COVID-19 telah pun berada dalam kalangan masyarakat. Virus ini hanya menunggu peluang untuk merebak daripada mereka yang dijangkiti (sama ada individu itu bergejala ataupun tidak) kepada orang lain yang mendekati mereka.

“Cara jangkitan berlaku sama ada semasa berada bersama-sama di tempat sesak (crowded place), dalam kawasan yang sempit (confined space), bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta ketika sedang makan atau minum (dengan penutup mulut dan hidung ditanggalkan),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Chin berkata bagi upacara pengebumian, sebanyak empat kluster dikesan iaitu masing-masing satu di Sibu, Beluru, Kapit dan Kuching manakala saiz kluster adalah dari 25 kes sehingga melebihi 2,000 kes, setiap kluster.

“Perhimpunan sosial sebanyak 11 kluster iaitu tiga di Kuching, dua di Samarahan dan masing-masing satu di Serian, Sri Aman, Kapit, Julau, Betong dan Bau manakala saiz kluster adalah dari 17 kes hingga 61 kes dalam setiap kluster.

“Tempat kerja sebanyak lima kluster iaitu dua di Bintulu dan masing-masing satu di Matu, Meradong dan Sri Aman manakala saiz kluster adalah dari 10 hingga 35 kes selain upacara perkahwinan dengan satu kluster iaitu di Miri melibatkan saiz kluster sebanyak 187 orang,” katanya.

Justeru, Dr Chin berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memerlukan kerjasama semua pihak agar mengelakkan diri daripada menyertai mana-mana perhimpunan ramai kerana risiko jangkitan COVID-19 berlaku adalah tinggi pada situasi itu. – Bernama