Perhimpunan perarakan May Day dipatahkan

ISTANBUL, 1 MEI – Polis Istanbul telah menahan 15 orang hari ini, termasuk ketua-ketua kesatuan perdagangan yang cuba untuk mengadakan perarakan May Day kerana menentang perintah berkurung dan larangan demonstrasi di dataran bersejarah.

Konfederasi Kesatuan Sekerja Progresif (DISK), dalam tweetnya berkata ketua mereka Arzu Cerkezoglu dan beberapa orang ketua kesatuan telah ditahan berdekatan Dataran Taksim, di mana mereka ingin meletakan karangan bunga.

Imej menunjukkan polis dan para demonstrasi memakai penutup dan pelindung muka dalam keadaan yang tegang. Agensi berita Anadolu berkata mereka telah ditahan oleh polis kerana melanggar arahan perintah berkurung dan undang-undang demonstrasi.

Dataran Taksim mempunyai nilai simbolik kepada pergerakan pekerja Turki. Pada tahun 1977, 34 orang telah terbunuh di sana semasa sambutan May Day apabila tembakan dilepaskan ke arah orang ramai dari bangunan berdekatan.

Turki mengenakan perintah berkurung separa di 31 buah wilayah setiap hujung minggu dan pada hari-hari kelepasan awam. Terdapat pengecualian, termasuk ramai pekerja-pekerja buruh yang terus bekerja di tengah-tengah pandemik. Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata negara tersebut mesti meneruskan penghasilan untuk memastikan ekonomi terus berputar.

Larangan demonstrasi May Day di Taskim telah berkuat kuasa selama beberapa tahun, disebabkan oleh kebimbangan keselamatan. Pihak polis menutup semua jalan-jalan menuju Dataran Taksim dengan penghadang jalan dan meningkatkan bilangan pegawai keselamatan hari ini. – AFP

Seorang penunjuk perasaan memakai penutup muka untuk mencegah koronavirus telah dipaksa untuk memasuki kenderaan polis selepas ditahan oleh pihak polis semasa protes May Day di Istanbul kelmarin. – AP