BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Kelana, kelmarin, telah menganjurkan Perhimpunan Pengakap Kelana Senegara ke-2 sempena Sambutan 85 tahun Pergerakan Pengakap di Negara Brunei Darussalam dan Sambutan 100 Tahun Pengakap Kelana Sedunia.
Hadir selaku tetamu kehormat pada perhimpunan berkenaan ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Di-Pertua, Pengiran Abdul Wahab bin Pengiran Haji Hassan; Ketua Pesuruhjaya, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali; timbalan ketua pesuruhjaya, Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip; pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, penolong-penolong pesuruhjaya daerah, pemimpin-pemimpin pengakap, ahli-ahli pengakap yang terdiri dari Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.
Selain itu, tetamu jemputan daripada Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak dari daerah Miri dan Limbang turut hadir bagi memeriahkan perhimpunan tersebut.
Perhimpunan bertujuan untuk menghimpunkan ahli-ahli Pengakap Kelana senegara selain itu juga memberi pemahaman mengenai sejarah pergerakan Pengakap Kelana dan peranan sebagai ahli Pengakap Kelana di samping memaklumkan kegiatan yang akan dijalankan sepanjang tahun 2018.
Antara atur cara program yang dijalankan pada perhimpunan berkenaan adalah sesi kongsi sama bersama mantan Pesuruhjaya Bahagian Pengakap yang pertama iaitu Haji Othman bin Durani dan Pegawai Eksekutif Pengakap, Awang Zainudin bin Haji Ishak yang berkongsi mengenai dengan sejarah penubuhan Pengakap Kelana di negara ini.
Turut diadakan adalah sesi percambahan minda mengenai hala tuju Pengakap Remaja selepas Tahun 11 persekolahan, taklimat mengenai ‘Rovers100’ dan taklimat pengenalan Radio Amatur.
Bahagian Pengakap Kelana merupakan bahagian akhir dalam skim latihan PPNBD yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada belia-belia yang berumur 18 tahun hingga 26 tahun.