Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Perihal sembahyang duduk

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Dua

    Sembahyang duduk di atas kerusi

    Berdasarkan kepada keumuman maksud hadits yang membolehkan sembahyang secara duduk yang dijelaskan di atas dapat difahami bahawa sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi bagi orang yang tidak mampu untuk berdiri juga adalah dibolehkan kerana tidak ada ditetapkan cara dan keadaan duduk yang khusus mengenainya.

    Apabila seorang mukallaf tidak mampu untuk berdiri dan dia mengerjakan sembahyang dengan cara duduk di atas kerusi, maka hendaklah dia ruku‘ dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan lutut dan paling sempurna dengan membongkokkan badan sekira-kira dahi setentang dengan tempat sujud.

    Kemudian kembali duduk dengan betul untuk melakukan i‘tidal. Jika dia tidak mampu kembali duduk dengan betul, maka hendaklah kembali sekadar yang termampu olehnya. Setelah itu sujud seperti biasa dengan meletakkan dahi ke lantai.

    Jika dia tidak mampu untuk sujud dengan meletakkan dahi ke lantai akan tetapi dia mampu untuk membongkokkan badan pada kadar ruku‘ paling kurang atau paling sempurna akan tetapi tidak mampu melebihi kadar demikian itu, maka bolehlah dia melakukan pada kadar yang termampu itu sekali untuk ruku‘ dan sekali lagi untuk sujud dalam keadaan duduk di atas kerusi.

    Adapun jika dia mampu untuk membongkok melebihi kadar ruku‘ paling sempurna, maka wajib dia ruku‘ dengan tidak melebihi kadar ruku‘ paling sempurna dan wajib dia sujud (gambar) dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kadar melebihi kadar ruku‘ paling sempurna.

    Sementara itu, jika dia tidak mampu juga untuk melakukan ruku‘ dan sujud, maka dia hendaklah melakukan ruku‘ dan sujud tersebut dalam keadaan duduk di atas kerusi itu secara isyarat sebagaimana yang telah dijelaskan.

    Beberapa permasalahan mengenai sembahyang duduk

    1. Mampu berdiri tetapi tidak mampu ruku‘ dan sujud.

    Jika seseorang mampu berdiri akan tetapi dia tidak mampu ruku‘ dan sujud, umpamanya disebabkan terdapat masalah pada bahagian belakangnya, maka wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang dengan berdiri. Adapun ruku‘ dan sujud dilakukan dalam keadaan berdiri dengan membongkokkan tulang belakangnya sekadar yang dia mampu sahaja.

    Jika dia tidak mampu membongkokkan tulang belakangnya untuk ruku‘ dan sujud, maka hendaklah dia menundukkan leher dan kepalanya, dan jika tidak mampu juga maka hendaklah dengan isyarat.

    Dalam keadaan di atas, menurut Imam al-Halabi Rahimahullah, apabila seseorang itu selesai melakukan sujud pertama dengan isyarat ketika dalam keadaan berdiri, kemudian dia melakukan duduk antara dua sujud seperti biasa, setelah itu hendaklah dia melakukan sujud kedua dengan isyarat dalam keadaan dia duduk bukan dengan berdiri. Ini kerana sujud keduanya dalam keadaan dia duduk itu lebih dekat dengan tempat sujud.

    2. Mampu berdiri dan berbaring sahaja.

    Jika seseorang mampu berdiri dan berbaring sahaja, dan tidak mampu duduk, maka hendaklah dia mengerjakan sembahyang dengan berdiri dan memberi isyarat ruku‘ dan sujud sekadar yang mampu. Demikian juga dalam melakukan tasyahhud (tahiyyat), hendaklah dia melakukannya dalam keadaan berdiri.

    3. Mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian sahaja.

    Jika seseorang mampu berdiri apabila sembahyang bersendirian, tetapi menghadapi kesulitan untuk berdiri apabila sembahyang berjemaah, melainkan dengan duduk pada sebahagian sembahyangnya, maka dalam keadaan itu, adalah afdhal baginya untuk sembahyang bersendirian sahaja. Namun sembahyangnya tetap sah jika dia berjemaah dan duduk pada sebahagian sembahyangnya itu.

    4. Berlaku keuzuran di pertengahan sembahyang.

    Apabila seorang yang sihat menunaikan sembahyang seperti biasa, tiba-tiba berlaku keuzuran yang menyebabkannya tidak mampu untuk berdiri, maka dalam hal tersebut harus dia melakukan daripada keadaan yang dia tidak mampu iaitu berdiri kepada yang termampu olehnya iaitu duduk.

    Jika berlaku keuzuran ketika dia sedang membaca sebahagian surah al-Fatihah, wajib dia meneruskan bacaan al-Fatihah dalam waktu dia bergerak merendah untuk duduk itu.

    5. Hilang keuzuran di pertengahan sembahyang.

    Apabila seorang yang uzur mengerjakan sembahyang dengan cara duduk, tiba-tiba hilang keuzurannya dan mampu untuk berdiri, maka wajib baginya untuk segera bangkit dan berdiri.

    Jika dia mampu untuk berdiri disebabkan hilang keuzuran atau berkurangan keuzurannya sebelum dia membaca surah al-Fatihah, maka hendaklah dia bangkit berdiri dan membaca surah al-Fatihah dalam keadaan berdiri.

    Demikian juga, jika dia berdaya untuk berdiri disebabkan hilang atau berkurangan keuzuran ketika dia sedang membaca surah al-Fatihah, maka hendaklah dia bangkit dan menyambung bacaannya setelah dia sempurna berdiri. Wajib ke atasnya untuk tidak meneruskan membaca surah al-Fatihah sehinggalah dia sempurna berdiri kerana tidak memadai atau tidak dikira bacaannya jika dia membacanya ketika bergerak untuk berdiri.

    Adapun jika dia mampu berdiri setelah selesai membaca surah al-Fatihah sebelum lagi melakukan ruku‘, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk tunduk ruku‘ tanpa perlu thuma’ninah dan disunatkan membaca semula surah al-Fatihah dalam keadaan berdiri sebelum ruku‘.

    Dalam keadaan yang lain pula, jika seorang bersembahyang duduk lalu hilang keuzurannya ketika dia melakukan ruku‘ dalam keadaan duduk dan sebelum thuma’ninah, maka hendaklah dia terus berdiri dalam keadaan ruku‘ dan jangan berdiri tegak. Sembahyangnya menjadi batal jika dia berdiri tegak terlebih dahulu dan kemudian baharu ruku‘. Ini adalah kerana jika dia berdiri tegak terlebih dahulu, nescaya dia menambah rukun fi‘li sembahyang iaitu berdiri.

    Manakala jika keuzurannya itu hilang selepas thuma’ninah, maka ruku‘nya adalah sempurna dan wajib dia berdiri dalam keadaan i‘tidal kemudian baharulah dia sujud tanpa perlu ruku‘. Jika dia melakukan ruku‘, sembahyangnya menjadi batal kerana dia menambah satu lagi rukun fi‘li sembahyang iaitu ruku‘.

    Jika keuzurannya hilang ketika melakukan i‘tidal dalam keadaan duduk sebelum berlaku thuma’ninah, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk i‘tidal dan thuma’ninah. Sementara itu, jika keuzurannya hilang selepas berlaku thuma’ninah, maka menurut pendapat yang ashah, tidak perlu lagi dia berdiri supaya tidak berlaku perbuatan memanjangkan tempoh i‘tidal, kerana i‘tidal merupakan rukun pendek.

    Adapun jika keuzurannya hilang selepas thuma’ninah di rakaat kedua sembahyang Subuh, sebelum dia membaca doa qunut, maka hendaklah dia bangkit berdiri untuk membaca doa qunut. Jika dia tidak bangkit berdiri namun dia terus membaca doa qunut dalam keadaannya duduk, maka batal sembahyangnya kerana perbuatan tersebut dikira menambah perbuatan duduk yang bukan sepatutnya.

    6. Tidak mampu berdiri lama

    Seseorang yang ada keuzuran untuk berdiri pada kadar yang lama, iaitu dia hanya mampu untuk berdiri sekadar sempat untuk membaca surah al-Fatihah sahaja dan jika dia membaca surah lain selepas itu, nescaya dia tidak mampu lagi untuk berdiri, dalam hal yang demikian, afdhal baginya membaca surah al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah lain selepas al-Fatihah itu. Ini kerana menjaga rukun sembahyang (berdiri) itu adalah lebih utama.

    Berdasarkan penjelasan di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa setiap rukun di dalam sembahyang fardhu tetap wajib untuk dikerjakan oleh setiap mukallaf mengikut kadar kemampuannya.

    Antaranya, bagi seseorang yang mempunyai keuzuran sehingga menyebabkan dia tidak mampu berdiri, akan tetapi dia mampu untuk duduk, maka dia hendaklah mengerjakan rukun berdiri dengan cara duduk mengikut ketetapan seperti yang telah dijelaskan. Pahala sembahyangnya sama sahaja seperti pahala sembahyang yang dikerjakan dengan berdiri.

    Sementara itu pula, diharuskan mengerjakan sembahyang sunat dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu untuk berdiri.

    Walau bagaimanapun, pahala sembahyangnya adalah separuh daripada pahala sembahyang sunat yang dikerjakan dengan berdiri.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...