Periksa akaun, kemas kini dokumen sebelum baharui lesen online

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Kira-kira 1,000 permohonan bagi membaharui lesen kenderaan dan sebanyak 1,100 permohonan bagi membaharui lesen memandu melalui aplikasi mudah alih TransportBN dan juga portal rasmi kerajaan,www.gov.bn, diterima oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dalam tempoh dari 1 April hingga 12 April.

Daripada jumlah-jumlah permohonan yang diterima itu, terdapat sejumlah permohonan yang gagal atas sebab pembayaran atas talian ditolak (declined), baki tidak mencukupi (insufficient funds) atau pemegang kad tidak disahkan (card holder not authorised), jelas kenyataan yang dikeluarkan oleh MTIC, di sini, hari ini.

Bagi menjamin proses dalam talian berjalan dengan lancar, selain daripada mengemas kini dokumen-dokumen, adalah disarankan orang ramai bagi memudahkan proses pembayaran dalam talian untuk memastikan kad kredit atau kad debit yang akan digunakan terlebih dahulu disahkan (authorised) oleh bank pengguna bagi kegunaan pembayaran dan dihubungkan kepada akaun bank yang aktif.

Di samping itu, orang ramai juga perlu mempunyai akaun e-Darussalam terlebih dahulu bagi menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh kerajaan.

Talian Darussalam akan mengaktifkan akaun e-Darussalam setelah permohonan lengkap diterima melalui WhatsApp ataupun e-mel dalam masa dua hari.

Terdahulu dalam kenyataan berkenaan, jabatan menyatakan bahawa dalam memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan dalam talian, MTIC melalui Pusat Kebangsaan e-Kerajaan (EGNC) merakamkan penghargaan di atas penerimaan dan kerjasama orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan-perkhidmatan atas talian, bolehlah menghubungi Talian Darussalam 123.