Periksa BruHealth, SMS untuk tarikh vaksinasi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Orang ramai dinasihatkan untuk memeriksa aplikasi BruHealth atau pesanan SMS mereka bagi tarikh baharu vaksinasi.

Ini kerana pada Khamis lalu ketika program vaksinasi dos pertama dimulakan semula, lebih 1,000 slot disediakan dan 438 mereka yang diganjakan slotnya pada hari tersebut tidak hadir dan ia adalah satu jumlah yang besar.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada sesi soal jawab sidang media jangkitan COVID-19 di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Sejumlah lebih 1,600 slot vaksin yang berganjak sebelum ini dan kelmarin, program vaksinasi telah menyaksikan lebih 8,000 divaksin yang termasuklah orang yang berpindah pusat vaksinasi,” tambahnya.

Setakat 18 September 2021 jam 5 petang, Negara Brunei Darussalam telah memvaksin 54.6 peratus penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 34.8 peratus penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap.

Slot vaksinasi yang telah ditempah atau diganjakkan boleh diperiksa melalui aplikasi BruHealth atau SMS yang akan dihantar oleh pihak kesihatan.