Periksa juga peniaga dalam talian dan kedai runcit

Sudah lebih setahun, negara kita diterjah oleh arus gelombang pandemik COVID-19 dan kini digemparkan lagi dengan rentetan laporan peningkatan kes-kes baharu yang memaksa langkah-langkah pengawalan diperketatkan semula.

Semenjak penularan wabak ini juga, negara kita telah menutup sempadan-sempadan negara untuk mengawal peningkatan kes baharu secara import dan hanya yang memiliki kelulusan dibenarkan memasuki negara. Sehubungan itu, hasil daripada penutupan sempadan itu bukan hanya mengawal kemasukan warganegara asing, malah ia juga menjejaskan bekalan makanan dari luar negara khususnya barangan beku.

Namun agak memeranjatkan saya, baru-baru ini saya terjumpa satu iklan jualan barangan beku yang diiklankan di media sosial Facebook. Setahu saya, barangan beku itu belum ada dijual di mana-mana di gedung-gedung pasar raya yang besar kerana sesetengah barangan belum memiliki permit untuk masuk ke pasaran tempatan. Tapi kenapa si penjual dalam talian pula memiliki stok dan dengan mudah berjual? Adakah barangan beku tersebut simpanan yang tidak habis terjual? Atau barangan beku baharu yang di bawah masuk ke dalam negara secara salah? Hanya dalam beberapa minit saya meninggalkan iklan tersebut, saya mencari semula iklan berkenaan namun langsung tidak dijumpai seperti si penjual menghilangkan iklan tersebut. Dengan perilaku tersebut membuatkan saya bertambah sangsi dan merasakan barangan beku tersebut tidak memiliki sebarang kebenaran.

Apa yang menyedihkan lagi, sesetengah peniaga ini berani untuk menjual kepada pemilik kedai dan meletakkan syarat untuk dijual secara bersembunyi. Seperti mana baru-baru ini saya secara tidak sengaja terdengar perbualan antara seorang pembeli yang mencari barangan beku dengan salah seorang pekerja kedai.

Pada mulanya, saya fikir pekerja tersebut akan memberikan barangan beku keluaran tempatan, namun memberikan kepada pembeli tersebut buatan dari luar negara yang disangksikan, lebih-lebih lagi ia dibungkus dengan surat khabar sahaja.

Diharap pihak relevan memantau kedai-kedai ini kerana dikhuatiri bersubahat dengan jualan haram.

Kongsi laporan