Perintah berkurung COVID-19 pengaruhi kehidupan di Havana

HAVANA – Dengan perintah berkurung pada waktu malam setiap dua minggu, kerajaan Cuba pada Selasa (1 September lalu) meningkatkan sekatan pergerakan di ibu negara itu selepas kes COVID-19 baharu melonjak dalam beberapa minggu terakhir.

Mulai 1 September lalu, Havana di bawah perintah berkurung setiap jam 7 malam hingga jam 5 pagi. Sebilangan besar kedai dilarang menjual barangan kepada pembeli dari luar kawasan kejiranan untuk mengelakkan orang merayau di sekitar bandar.

Mary Cruz, yang menjalankan perniagaan persendirian di daerah Luyano, menutup kafeterianya lebih awal daripada biasa untuk pulang sebelum jam perintah berkurung berkuatkuasa.

“Sudah tentu, perintah berkurung pada waktu malam mempengaruhi pendapatan saya, tetapi sekarang ini semua merupakan masalah kesihatan,” katanya kepada media.

“Sekiranya kita bekerja keras, Havana sekali lagi akan menjadi kota yang tidak pernah tidur.”

Kelihatan seorang petugas memeriksa suhu badan di pusat pemeriksaan sempadan di Havana, Cuba. – Xinhua
Pusat pemeriksaan di sempadan antara ibu negara dan negara lain diperkuat kerana lebih daripada 1.7 juta murid di luar Havana telah kembali ke sekolah untuk pertama kalinya sejak Mac. – Xinhua
Berikutan penularan wabak koronavirus di Havana, setiap penduduk diarahkan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan jangkitan virus seperti memakai penutup mulut dan hidung. – AP
Kelihatan seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan wabak koronavirus di Havana, Cuba. – AP

Juga, pegawai polis, pemimpin masyarakat dan perwakilan organisasi sosial melakukan pemeriksaan pencegahan di tengah-tengah kawasan ibu kota Cuba.

“Tanggungjawab adalah apa yang diperlukan oleh profesional kesihatan daripada kami. Itulah cara terbaik untuk menolong mereka,” kata penduduk Havana, Lazaro Garriga yang berdiri di balkoninya ketika dia bergabung dengan jiran-jirannya untuk memuji doktor dan jururawat dunia yang memerangi wabak itu, yang menjadi kebiasaan setiap malam pada pukul 9 di Havana.

Sementara itu, pusat pemeriksaan di sempadan antara ibu negara dan negara lain diperkuat kerana lebih daripada 1.7 juta murid di luar Havana telah kembali ke sekolah untuk pertama kalinya sejak Mac.

Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel mendesak pihak berkuasa wilayah di Havana untuk menerapkan secara ketat langkah-langkah yang diambil untuk membendung penyebaran wabak koronavirus di kota terbesar di pulau itu.

“Terdapat banyak pembawa virus tanpa gejala di jalanan, yang belum dapat dikesan, dan kemudiannya menjangkiti penduduk,” katanya.

Kes-kes koronavirus baharu turun menjadi sifar di Cuba pada 20 Julai lalu untuk pertama kalinya selepas bermulanya wabak itu, tetapi telah meningkat sejak 24 Julai hingga kini.

Havana, pusat wabak koronavirus di negara ini, setakat ini mencatatkan sebilangan besar kes yang disahkan sejak dua minggu lalu, diikuti oleh wilayah Artemisa yang berdekatan.

Penduduk di Havana dilarang mengunjungi resort tepi laut di seluruh negara selagi keadaan pandemik berterusan.

Di samping itu, penduduk tempatan hanya terhad untuk membeli barang asas di kedai berdekatan dalam usaha untuk menyekat pergerakan bandar dan mengelakkan barisan panjang yang diprovokasi oleh sekatan ekonomi Amerika Syarikat terhadap pulau itu.

Pada ketika ini, beribu-ribu ujian dilakukan setiap hari di kawasan yang paling teruk dilanda di mana doktor dan jururawat pergi dari rumah ke rumah untuk mencari pembawa asimtomatik dan kes yang disyaki.

Jose Alberto Rodriguez, seorang doktor barisan hadapan Cuba di sebuah hospital COVID-19 di Havana, mengatakan bahawa langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan berada di landasan yang betul dan diperlukan lebih banyak disiplin untuk menangani keadaan darurat kesihatan.

“Kami selalu berada di sini dan akan terus menyelamatkan nyawa daripada ancaman virus,” katanya.

“Perjuangan menentang wabak itu belum berakhir.”

Setakat ini, Cuba telah mencatatkan 95 kematian COVID-19, dengan 33 kes baharu disahkan pada hari Selasa (1 September lalu), menjadikan jumlah keseluruhan 4,065. – Xinhua