Perintah berkurung di perairan ESSZONE dilanjut

KOTA KINABALU, 17 OGOS – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir pada 6 petang esok dilanjutkan sehingga 2 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Katanya, perintah berkurung yang diisytiharkan dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Menurutnya, perintah berkurung itu dilanjutkan bagi memastikan kawa-san perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan, kumpulan yang menjalankan kegiatan menculik untuk wang tebusan (KFR) dari selatan Filipina termasuk Kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” kata-nya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – Bernama