Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perintah berkurung kedua lebih lama

    LONDON, 1 NOV – Perintah berkurung baharu selama empat minggu di England akan dilanjutkan lagi jika gagal mengurangkan kadar jangkitan, kata kerajaan semalam, ketika ia berdepan kritikan berhubung keputusan mendadak untuk menutupnya kembali.

    Sekatan seluruh negara kedua, secara tergesa-gesa diumumkan lewat kelmarin berikutan amaran dari hospital dalam beberapa minggu, akan mula berkuat kuasa hari Khamis dan berakhir pada 2 Disember.

    Tetapi menteri kanan Michael Gove mengatakan bahawa kerajaan akan mempertahankan langkah-langkah ketat jika kadar jumlah orang yang mungkin dijangkiti masih meningkat.

    “Dengan virus ini merebak dan dengan kemampuannya bergerak begitu cepat, adalah tidak wajar untuk meramalkan apa yang akan terjadi dalam masa empat minggu,” katanya kepada Sky News.

    “Oleh itu tentu saja kita akan mengkaji apa yang perlu dilakukan tetapi kita mempunyai rancangan yang jelas selama empat minggu akan datang,” tambahnya.

    Di bawah peraturan baharu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Boris Johnson, orang ramai diseru tinggal di rumah kecuali jika perlu, seperti untuk pekerjaan, pendidikan atau latihan.

    Berbeza dengan penutupan selama sebulan di seluruh UK awal tahun ini, sekolah, kolej dan universiti akan tetap dibuka.

    Tetapi kelab malam dan restoran akan ditutup kecuali menyajikan makanan yang dibawa pulang, sementara semua tempat percutian dan hiburan serta kedai yang tidak penting akan ditutup.

    Kes jangkitan meningkat ketika Britain melepasi satu juta kes, setelah mengumumkan hampir 22,000 jangkitan baharu pada Sabtu lalu.

    Penasihat saintifik kerajaan telah memperingatkan penularan COVID-19 meningkat lebih cepat daripada ramalan mereka yang paling mengerikan.

    Britain sudah termasuk di antara negara yang paling teruk dilanda di Eropah, dengan jumlah kematian berkaitan COVID-19 hampir 47,000, setelah 326 kematian diumumkan semalam. – AFP

    Seorang pejalan kaki yang memakai penutup mulut dan hidung berjalan melintasi bas di London ketika England bersiap untuk memasuki perintah berkurung kedua dalam usaha membendung jangkitan COVID-19. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda