Perintah Kuarantin Digital diperkenalkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan satu ciri baharu dalam aplikasi BruHealth yang dinamakan Perintah Kuarantin Digital yang diaktifkan bermula hari ini.

Perintah Kuarantin Digital tersebut bertujuan untuk memberikan notis dan memaklumkan kepada kontak-kontak terdekat bahawa mereka telah dikenal pasti sebagai kontak kepada kes positif COVID-19, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Penjelasan mengenai ciri-ciri baharu itu juga dikongsikan bersama oleh Ketua Korporat EVYD Technology, Kevin Yeap yang mengatakan perintah itu memudahkan pihak berkuasa memantau status mereka yang telah diberikan perintah kuarantin secara maya iaitu mengetahui keberadaan mereka setiap masa, menerima pengesahan tanda-tanda jangkitan yang mungkin dialami dengan check-in harian dan menerima permohonan untuk penghantaran makanan.

“(Ciri baharu itu juga) menjadi bahan rujukan dokumen secara digital bagi para pekerja untuk memaklumkan pihak atasan mereka mengenai perintah kuarantin yang dikenakan dan mengurangkan keperluan pengeluaran perintah kuarantin secara bertulis khususnya bagi mereka yang mempunyai akses kepada aplikasi BruHealth,” tambah kedua-duanya.

Oleh itu, ujar Yang Berhormat Dato lagi, orang ramai dikehendaki untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka termasuk ahli-ahli keluarga yang didaftarkan dalam aplikasi BruHealth, khususnya alamat kediaman mereka.

Kevin Yeap semasa menjelaskan mengenai Perintah Kuarantin Digital bersama Yang Berhormat Menteri Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

Ia akan membantu pihak berkuasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan perintah kuarantin.

“Apa yang unik mengenai dengan Perintah Kuarantin Digital ini, ia mempunyai kaedah untuk mengesan jika seseorang yang dikenakan kuarantin berada pada jarak melebihi 100 meter daripada alamat kediaman mereka. Jika ini berlaku, pihak penguat kuasa akan dimaklumkan dengan serta merta,” jelasnya.

Oleh itu, Yang Berhormat Dato menasihatkan orang ramai untuk mengambil serius mengenai perintah kuarantin yang dikenakan kepada mana-mana individu, termasuk mengemas kini status kuarantin mereka dalam aplikasi BruHealth melalui Perintah Kuarantin Digital itu bagi sama-sama membantu Kementerian Kesihatan dalam pemantauan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Dalam hubungan ini, sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar akan mana-mana arahan yang telah dikeluarkan semasa pandemik COVID-19 ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau boleh didakwa ke mahkamah yang membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan ataupun kedua-duanya sekali,” tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Di kesempatan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk mengikuti segala arahan dan langkah-langkah pengawalan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

“Insya-Allah, dengan doa dan usaha, kitani semua akan dapat mengawal penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam,” kata beliau.