Perintah Kuarantin Digital sudah dikemas kini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Berikutan dengan pelancaran Perintah Kuarantin Digital melalui aplikasi BruHealth pada 13 Ogos lalu, aplikasi tersebut kini telah dikemas kini secara digital.

Mereka yang menerima notifikasi Perintah Kuarantin melalui aplikasi BruHealth atau pesanan ringkas (SMS) termasuk mereka yang diisytiharkan sebagai kontak kes positif atau sesiapa yang dikesan oleh aplikasi BruHealth berada dalam jarak 10 meter dalam masa 30 minit atau lebih dengan seseorang yang telah disahkan positif.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Sesiapa yang menerima Perintah Kuarantin Digital melalui aplikasi BruHealth dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, manakala hanya mereka yang menerima notifikasi untuk menjalani ujian swab sahaja yang dikehendaki melakukan ujian tersebut,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Bagi sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan Perintah Kuarantin Digital, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi COVID-19 (Persatuan Bulan Sabit Merah Brunei) di talian 8260380 atau Talian Darussalam 123.