Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Perintis berjuang selamatkan OASIS

    NEFTA, TUNISIA – Sebuah oasis terpencil di padang pasir Tunisia telah mengering akibat penggunaan air yang membazir selama beberapa dekad untuk pertanian tetapi kini perintis di sekitar pondok eko menghidupkan semula tempat tersebut dengan projek-projek inovatif.

    Mereka berharap pendekatan ‘kembali kepada asas’ mereka dapat mengekalkan perhentian karavan Sahara purba dan tradisinya sebagai alternatif yang mampan kepada ladang kurma dengan pengairan tinggi di rantau berkenaan.

    “Di antara pokok palma, segala-galanya boleh tumbuh,” kata Mohamed Bougaa, 63, seorang petani di oasis Nefta yang terpencil, tujuh jam perjala-nan dari ibu kota pantai Tunis.

    “Terdapat semua yang awda perlukan di sini: sayur-sayuran, buah-buahan. Kami boleh menanam lada, tomato, lobak merah dan semuanya tumbuh apabila ada matahari dan air,” tambahnya.

    Masalahnya ialah mata air Nefta, yang pernah menyalurkan kira-kira 700 liter air sesaat telah habis untuk membekalkan air tanaman kurma yang terkenal di rantau tersebut, yang dipanggil sebagai ‘deglet nour’.

    “Mata air Nefta telah kering 20 tahun lalu,” kata Bougaa.

    Najah Ameur menyediakan salad daripada sayur-sayuran yang ditanam di premis mereka di hotel Dar Hi. – AFP

    Pekerja mengusahakan kebun sayur hotel Dar Hi di tengah-tengah pokok palma di oasis Nefta yang terpencil, tujuh jam pemanduan dari ibu negara pantai Tunisia Tunis. – AFP

    Memandangkan sumber air bawah tanah berdepan kegagalan dan suhu musim panas memuncak pada 55 darjah Celcius pada Ogos lalu, hasil tanaman musim itu telah mengecewakan.

    Meniru alam semula jadi

    Patrick Ali El Ouarghi, yang mengendalikan pondok ekopelancongan di oasis, berkata ladang kurma tersebut pada skala yang betul dan boleh dijalankan secara mampan.

    Dia memanggilnya sebagai demonstrasi permakultur yang ideal, sistem untuk menghasilkan makanan secara organik dengan meniru ekosistem semula jadi.

    “Pokok palma melindungi buahnya dan buah pokok tersebut melin-
    dungi sayurnya, ia adalah kitaran semula jadi dalam oasis,” kata El Ouarghi.

    Warga Perancis-Tunisia itu menubuhkan rumah persinggahan Dar Hi pada 11 tahun yang lalu termasuk dengan apa yang dipanggil ‘Palm Lab’ iaitu tempat jurutera, arkitek dan para artis membincangkan cara memulihara oasis berkenaan.

    Projek ekologi tersebut bertujuan bagi membuat pelabur dan petani ingin melabur semula di oasis kerana ia sudah mulai merosot, menurutnya lagi.

    Tema utama ialah menangani kekurangan air yang teruk dengan membuat eksperimen dengan teknologi seperti pengairan titisan.
    Sistem semasa membanjiri kebun dengan air, dipamkan dari 100 meter di bawah tanah, adalah membazir, katanya.

    Gula kurma

    Tidak jauh dari Dar Hi, kebanyakan yang lain berusaha mencari jalan yang berbeza dalam menjadikan oasis tersebut bernilai.

    Kevin Klay, 35, warga Amerika, bekas penduduk Sousse di utara Tunisia, berkata dia mula jatuh cinta dengan kurma semasa lawatannya ke selatan.

    “Kami menyedari kebanyakan kurma, sehingga 20 hingga 30 peratus telah dibuang dan tidak digunakan kerana dilihat tidak menarik,” katanya.

    Jadi dia membeli beberapa kilo, mengeluarkan bijinya, mengeringkannya dan kemudian memasukkannya ke dalam pengisar kopi.

    Menurutnya, hasilnya adalah pemanis dengan seperlima kalori seperti gula putih yang penuh dengan serat dan mengandungi lebih banyak kalium daripada pisang.

    Sementara itu, dengan berbekalkan pengetahuan tersebut, Klay pada 2018 melancarkan Dateible, menjual manisan kurmanya yang dihasilkan daripada buah-buahan padang pasir yang disahkan organik untuk dieksport. Dia sekarang telah menggaji sembilan orang, tujuh daripadanya adalah wanita.

    “Kami telah menyaksikan permintaan yang besar, terutamanya di AS, di mana pasaran utama kami berada,” katanya.

    Firma berkenaan adalah bagi mengeksport kurma dalam jumlah yang banyak dan juga mula menjualnya melalui dalam talian, Amazon.

    Beberapa firma mengeluarkan hak milik terbitan kurma lain seperti pengganti kopi daripada kurma dan bentuk molases untuk digunakan dalam pastri.

    Perisa yang tidak diketahui

    Kembali ke rumah persinggahan, restoran itu menghidupkan semula masakan padang pasir tradisional.

    “Ia sangat mudah dan bermula daripada kedatangan orang nomad,” apabila Nefta, hari ini dianggap sebagai rumah kerohanian tasawuf, menjadi persinggahan penting di laluan gurun Sahara, kata El Ouarghi.

    Mereka membawa rempah dan perisa terkenal yang sepatutnya kekal di sini sebagai satu tradisi, katanya.

    Ketua tukang masak Najah Ameur berkata penduduk mencipta campuran rempah ratus mereka sendiri.

    “Ia tidak sama seperti membelinya di pasaran: membersihkan daun, bau, perisa, awda perlu tahu dengan tepat cara melakukannya,” kata lelaki berusia 40 tahun itu.

    Dia memasak menu hidangan yang dipelajarinya daripada ibunya dan daripada tukang masak selebriti Perancis, Frederick Grasser Herme, resipi yang disusun dalam buku yang mengenai masakan oasis.

    “Banyak bahan-bahan dari kebun kelapa sawit seperti parsli, saderi, chard, kacang hijau, dan kacang,” katanya.

    Sesetengah resipi juga disesuaikan untuk menggunakan Moringa, pokok India yang terkenal dengan kualiti pemakanan dan perubatan serta keupayaan untuk berkembang maju dalam keadaan yang gersang.

    Spesies pokok itu mungkin baharu di oasis, tetapi penduduk berharap gabungan yang lama dan baharu dapat mengekalkan komuniti dan ekosistem mereka dalam keadaan yang sihat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...