OR YEHUDA, ISRAEL – Di restorannya yang sibuk di Tel Aviv, cef Yair Yosefi menambah ramuan ajaib kepada kek istimewanya: vanila yang pertama kali dihasilkan secara komersial di Israel yang didakwa penggemarnya kemungkinan perisa paling kuat.
Ia dihasilkan oleh Vanilla Vida, pemain industri makanan baharu yang berkata proses pengawetan berpandu komputer selain kaedah penanaman canggih lain, mampu menghasilkan setiap kumpulan vanila mengikut cita rasa tertentu.
Syarikat itu, ditubuhkan pada 2020, mungkin membuktikan satu usaha sama yang menguntungkan, menghasilkan apa yang telah menjadi rempah-ratus paling berharga di dunia selepas safron.
Kebanyakan makanan yang dihasilkan secara besar-besaran, daripada ais krim kepada susu kocak kepada susu kacang soya, biasanya ditambah dengan perisa vanila tiruan – tetapi bahan organik sebenar masih amat mahal dan amat dicari-cari oleh orang ramai.
Vanilla Vida juga telah membangunkan rumah hijau untuk mewujudkan semula keadaan ideal yang diperlukan oleh vanila untuk tumbuh dengan subur, tetapi sebelum tanaman di sana mencecah saiz penuh, syarikat mengimport vanila segar untuk kilang pemprosesannya di Or Yehuda, di pinggir bandar Tel Aviv.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Oren Zilberman memberitahu AFP bahan mentah syarikatnya menjalani proses peraman yang dipantau dengan teliti.
Menurutnya, ia membenarkannya mengeluarkan perisa yang diingini, sekali gus mempercepat proses pengeringan dan menghapus pelbagai risiko yang datang bersama pengeringan di tempat terbuka dalam persekitaran cuaca tropika seperti Indonesia atau Madagascar, dua pengeluar vanila utama.
“Kami tahu bagaimana, menerusi proses pengeringan dengan pelbagai suhu, kelembapan dan elemen lain untuk mendorong bahan mentah menghasilkan perisa tertentu, untuk mewujudkan aroma yang agak berlainan – cara yang sama awda memanggang kopi dengan kaedah berlainan untuk mewujudkan aroma berlainan,” ujar Zilberman.
“Jika awda memahami metabolismenya, awda boleh mencipta vanila coklat, vanila karamel, vanila rasa asap seperti yang disukai warga Perancis, atau vanila amat manis untuk penggemar Amerika,” tambahnya. Ketika ditanya mengenai kualiti vanila yang diperam oleh Israel, cef Yosefi berkata buktinya terletak pada puding, berdasarkan tempahan yang tidak henti-henti untuk kek dacquoise dan bistro, Brut.
“Orang ramai menempah ‘sajian ini bersama buah-buahan dan vanila,’ beritahunya kepada AFP.
Perbezaan di antara vanila lain yang dihasilkan secara komersial dan produk Vanilla Vida yang amat pekat adalah ‘siang dan malam,’ katanya. – AFP