Perjalanan bermula buat pelajar baru UBD

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Seramai 1,124 orang pelajar baru Universiti Brunei Darussalam (UBD) termasuk pelajar antarabangsa telah melafazkan ikrar bagi menandakan bermulanya semester pertama akademik tahun 2017/2018 pada Majlis Freshers Week yang berlangsung di Dewan Canselor UBD, hari ini.

Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti POKLWDSS Haji Awang Abdul Aziz dalam ucapannya di majlis itu menyeru para pelajar untuk sentiasa bersikap positif dan mengambil peluang bagi menimba ilmu dan mempersiapkan diri bagi menempuh alam pekerjaan selepas UBD.

“Selain untuk menjulang ijazah dan mencari pekerjaan selepas UBD, mahasiswa-mahasiswi juga diingatkan, ijazah sendiri tidak semestinya menjamin pekerjaan.”

Dalam hubungan ini, jelasnya, pengalaman di UBD adalah diharapkan dapat membentuk setiap individu untuk lebih berdikari dan inovatif serta tidak bergantung kepada pekerjaan bersama kerajaan.

Beliau seterusnya menjelaskan, di UBD, pelajar akan mendapat pengalaman pembelajaran yang tersendiri dan holistik di samping kejayaan UBD juga didorong oleh pengalaman pembelajaran yang ditawarkan kepada pelajar melalui kurikulum akademik yang cemerlang serta aktiviti ekstra kurikulum.

Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina dengan tetamu yang lain.
Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina dengan tetamu yang lain.
Lafaz ikrar oleh pelajar baru UBD.
Lafaz ikrar oleh pelajar baru UBD.

Katanya lagi, “Daripada 26,000 buah universiti di seluruh dunia, UBD diiktiraf di peringkat antarabangsa di kalangan 1.3 peratus universiti di dunia dan baru-baru ini, di kalangan universiti yang berusia kurang dari 50 tahun, UBD juga diletakan di kedudukan ke-37 dunia”.

Dalam ucapannya itu, beliau seterusnya menjelaskan mengenai program ijazah sarjana muda, tahun mandatori dinamakan Discovery Year yang akan menyediakan lebih banyak pengalaman pembelajaran di mana ia memberi peluang untuk belajar di luar negara selain terlibat dalam program kemasyarakatan,

Dengan platform pembelajaran yang disediakan oleh UBD, ia adalah berbeza daripada tahun sebelumnya di sekolah-sekolah di mana pendidikan sebelum itu direka yang mana pelajar perlu mengikuti sukatan pembelajaran tertentu untuk lulus peperiksaan untuk ke peringkat seterusnya.

“Di UBD pula, pendidikan akan diatur dan dikawal oleh pelajar sendiri selain itu ia juga adalah tanggungjawab sendiri,” jelasnya.

Freshers Week ini merupakan acara yang diadakan untuk pelajar baru di mana mereka akan mendengarkan taklimat mengenai kehidupan di universiti dan apa yang ditawarkan UBD di samping mengetahui lebih lanjut mengenai modul-modul yang ditawarkan.

Di samping itu, pelajar juga diberikan penerangan mengenai program GenNEXT termasuk pendaftaran dan peperiksaan di UBD selain mendengar ceramah motivasi keagamaan, Bicara Ulum Ad-Din yang disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah.

Pelajar baru juga dibawa melawat sekitar UBD dan perpustakaan diikuti dengan sesi perkongsian pengalaman dengan pelajar UBD yang telah mengikuti Discovery Year.

Acara yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar ini merangkumi sesi taklimat mengenai pendaftaran kursus, peperiksaan, kelab-kelab kokurikulum di UBD, peluang Discovery Year dan penginapan kampus.