Perjalanan bersyarat, kapasiti perhimpunan dinaikkan

Oleh Sim Y. H, Salawati Haji Yahya & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial bagi aktiviti Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) adalah ditingkatkan kepada tahap keempat dan kapasiti perkumpulan ramai dinaikkan kepada 350 orang bermula 7 September ini.

Selain itu, pertimbangan khas kepada warga asing yang perlu membuat perjalanan masuk ke Negara Brunei Darussalam semasa Tahap 1 Pelan De-escalation pergerakan keluar dan masuk ke negara ini yang sedang berkuatkuasa pada masa ini juga dikemas kini dari segi kategori-kategori perjalanan tertentu sahaja tertakluk kepada syarat.

Tambahan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial berkenaan adalah mengambil kira situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang pada masa ini adalah dalam keadaan yang terkawal, di mana bagi aktiviti-aktiviti lainnya adalah tidak berubah.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika hadir pada sidang media berkenaan. – Gambar oleh Syahmi Hassan