Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjalanan England masih jauh

    LONDON, 6 Okt – Pengurus England, Gareth Southgate mengakui bahawa pasukannya ‘masih dalam proses’ selepas mereka melayakkan diri bagi Piala Dunia tahun depan dengan satu kemenangan sukar 1-0 ke atas Slovenia.

    Para penyokong England sudah awal berputus harapan dalam perlawanan di Wembley awal pagi tadi dan menyamankan hati mereka dengan melancarkan lapang terbang kertas ke arah padang sebelum Harry Kane menghasilkan penyudah kemenangan pada minit ke-94.

    Tetapi dengan dua pemain berusia 23 tahun, Raheem Sterling, 22, dan Marcus Rashford, 19, dalam kesebelasan utamanya, Southgate percaya ia adalah sesuatu yang tidak realistik untuk menjangkakan England bermain seperti kuasa besar dunia di peringkat perkembangan mereka.

    “Apa yang telah pasukan ini lalui selama lebih 18 bulan dan sebagai sebuah pasukan muda, mereka perlu menangani jangkaan tinggi dan kritikan ke atas persembahan mereka, ia sukar untuk mereka,” kata Southgate.

    “Mereka adalah barisan pemain muda yang perlu kita cuba dorong. Mereka memberikan segala-galanya yang mereka ada. Mereka tidak mempunyai pingat Liga Juara-Juara atau kejuaraan liga secara keseluruhan pasukan.

    Penyerang England, Harry Kane (kanan) meraikan jaringannya untuk England di saat-saat akhir perlawanan menentang Slovenia dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Dunia. – AP
    Gareth Southgate ketika memberikan arahan kepada para pemainnya dari petak teknikal Wembley. – AP

    “Mereka masih dalam proses. Tetapi mereka akan memberikan segala-galanya yang mereka ada untuk jersi ini dan mereka akan berkembang dalam beberapa tahun akan datang.

    “Mereka menderitai akibat daripada 25 tahun, 30 tahun, 40 tahun kurang pencapaian. Itu bukan salah mereka. kami perlu memberikan mereka kepercayaan dan memberikan dorongan untuk membuat pencapaian.”

    Selepas perlawanan, FA England terus mengumumkan bahawa England akan bermain perlawanan persahabatan menentang Brazil dan juara dunia Jerman di Wembley pada bulan November.

    Tugasan mereka seterusnya adalah ke Lithuania bagi perlawanan terakhir Kumpulan F hujung minggu ini, meskipun nasib mereka sudah pasti, Southgate berkata dia tidak akan melepaskan mana-mana pemain daripada skuadnya.

    “Kami perlu menilai mengenai kedudukan kecederaan, tetapi saya tidak akan melepaskan pemain-pemain,” katanya disidang media selepas perlawanan.

    “Kami adalah sebuah pasukan. Kami bersatu sebagai sebuah pasukan. Mungkin pada malam ini kami menikmati hakikat bahawa kami berada di Piala Dunia.

    “Tetapi akan ada penyokong Engladn yang pergi ke Lithuania dan kami ada tugas untuk menghasilkan persembahan menarik. Kami mahu kekal tanpa kalah dan memenangi perlawanan.”

    Dengan kehadiran hanya 61,598 orang, hanya dua pertiga daripada kapasiti Wembley, menggambarkan merosotnya populariti England, setahun selepas mereka dimalukan oleh Iceland dalam kempen Euro 2016.

    Tetapi Southgate berkata bahawa dia mahu menjadikan Bobby Robson sebagai contoh, yang bermula daripada pasukan kebangsaan yang dipulaukan menjadi kebanggaan negara dengan menerajui England ke separuh akhir Piala Dunia 1990 di Itali.

    “Ia adalah sifat semula jadi bermain bola sepak untuk England dan menguruskan England,” kata Southgate, yang mengambil alih pasukan selepas Sam Allardyce dijatuhkan oleh akhbar hanya selepas mengendalikan satu perlawanan.

    “Kami adalah sebuah negara yang mempunyai jangkaan tinggi. Saya telah menyaksikan Bobby Robson mara ke separuh akhir Piala Dunia dan dia teruk dihentam sehingga peringkat suku akhir.

    “Saya mampu merationalkannya. Apa yang perlu dilakukan hanyalah memenangi perlawanan bola sepak.”

    Jurulatih Slovenia, Srecko Katanec mendedahkan bahawa dia akan mengundur diri selepas perlawanan terakhir pasukannya di gelanggang sendiri menentang Scotland.

    Slovenia secara kiraan masih boleh mendapatkan slot play-off, tetapi mesti menewaskan Scotland dan berharap Slovakia tercicir di laman sendiri kepada Malta.

    “Bagi bola sepak Slovenia, itu bermakna tidak ada Piala Dunia,” kata Katanec.

    “Tetapi kami bekerja keras untuk mengubah generasi ini dan kami telah menyenaraikan beberapa orang pemain muda.

    “Pemain muda kami tidak akan bermain secar berterusan sepanjang masa, tetapi saya fikir adalah masa depan yang cerah menanti kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda