Thursday, September 28, 2023
25.9 C
Brunei

    -

    Perjalanan keluar dan masuk lebih mudah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Jawatankuasa Pandu COVID-19 hari ini mengumumkan pengemaskinian syarat-syarat perjalanan keluar dan masuk negara melalui udara atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berdasarkan penilaian risiko semasa dan kajian yang terperinci.

    Syarat-syarat baharu akan dilaksanakan mulai 1 April ini merangkumi beberapa perkara bagi individu yang membuat perjalanan masuk ke negara ini melalui udara, antaranya dibolehkan menjalani kuarantin di rumah-rumah kediaman persendirian atau di hotel-hotel penginapan.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar) mengumumkan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    Menurutnya lagi, bagi kuarantin di rumah, alamat kediaman masing-masing perlu didaftarkan sebelum berlepas ke negara ini melalui Arrival E-Health Declaration Form secara dalam talian yang perlu dilengkapkan setiap individu membuat perjalanan masuk ke negara ini dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas berserta maklumat kesihatan seperti status vaksinasi, keputusan ujian COVID dan sejarah perjalanan serta membuat pembayaran ujian-ujian COVID semasa ketibaan. Beliau mengongsikan Travel Green List diaktifkan semula dan negara-negara dalam senarai itu dikemaskinikan iaitu Australia, Kemboja, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea, Malaysia (udara sahaja), New Zealand, Republik Singapura, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

    Perjalanan pergi dan dari negara tersebut tidak lagi dihadkan kepada essential travel sahaja malah dibukakan kepada non-essential travel, manakala warga asing dalam senarai hijau itu tidak perlu memohon kebenaran Entry Travel Pass (ETP) bagi perjalanan ke negara ini.

    Menurutnya, warganegara asing dari negara tersenarai itu yang berhasrat bekerja atau melawat ke negara ini, masih perlu memohon visa bekerja, visa tanggungan, visa lawatan (bagi mana-mana warganegara asing yang dipersyaratkan untuk memerlukan visa kemasukan), atau visa lawatan profesional dan bisnes terlebih dahulu seperti peraturan lazimnya.

    Di samping itu, mereka juga dikehendaki menepati syarat dan protokol kesihatan yang dikemaskini seperti vaksinasi lengkap, menjalani ujian swab RT-PCR tidak lebih dari dua hari sebelum bertolak dari negara asal atau menjalani certified ART tidak lebih dari sehari sebelum bertolak dari negara asal; menjalani ujian swab RT-PCR dan ART pada hari ketibaan di negara ini seterusnya ART hari kedua dan hari ketiga yang melaporkan keputusan ke aplikasi BruHealth.

    Kit ART dengan kod QR bagi tujuan ini akan dibekalkan semasa ketibaan di negara ini. Di samping itu mereka juga turut dikehendaki untuk menjalani kuarantin di rumah atau hotel sebaik sahaja tiba ke negara ini sehingga keputusan ujian swab RT-PCR semasa ketibaan disahkan negatif.

    Bagi mereka yang pernah dijangkiti COVID-19 dan mempunyai bukti sijil sembuh tidak lebih dari 90 hari dikecualikan daripada ujian swab RT-PCR atau ART dan hanya perlu menjalani ART pada hari ketibaan sahaja.

    Semasa menyentuh mengenai syarat-syarat bagi pengunjung yang belum termasuk dalam senarai perjalanan hijau itu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, mereka diperlukan menjalani ujian swab RT-PCR tidak lebih dari dua hari sebelum bertolak dari negara asal atau menjalani certified ART tidak lebih dari satu hari sebelum bertolak dari negara asal.

    “Mereka dikehendaki menjalani ART pada hari ketibaan ke negara ini dan seterusnya kuarantin lima hari di rumah kediaman masing-masing atau hotel.

    “Ujian swab RT-PCR akan dijalankan pada hari kelima dan dibenarkan menamatkan kuarantin jika disahkan negatif. Bagi mereka yang mempunyai bukti sembuh tidak lebih 90 hari, mereka dikecualikan bagi kedua-dua ujian dan kuarantin lima hari, dan hanya perlu menjalani ART pada hari ketibaan sahaja.

    Bagi perjalanan keluar negara melalui udara, sama ada ke negara dalam senarai hijau atau sebaliknya, tidak lagi diperlukan membuat permohonan kebenaran perjalanan keluar negara atau Exit Travel dari JPM. Walau bagaimanapun, perjalanan keluar negara hanya dibenarkan bagi rakyat dan penduduk yang telah mendapatkan dos ketiga vaksin COVID atau telah melengkapkan dua dos vaksinasi COVID dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh perjalanan yang perlu ditunjukkan semasa berangkat. 

    Pengecualian adalah diberikan bagi mereka punya sijil sembuh dengan tempoh sah selama 90 hari dan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun membuat perjalanan bersama orang dewasa. Mereka yang membuat perjalanan keluar negara dengan hasrat untuk berada di luar negara secara jangka pendek diperlukan untuk mendapatkan insurans perjalanan yang meliputi perlindungan rawatan COVID dan mendaftar dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri secara online, tambahnya.

    Manakala ketika menyentuh perjalanan keluar dan masuk melalui pos-pos kawalan darat atau laut, Yang Berhormat Pehin menjelaskan ia masih mengikut syarat-syarat dan tatacara masa ini. Perbincangan dengan negara jiran sedang giat dijalankan bagi perjalanan keluar dan masuk melalui pos-pos kawalan darat dan laut. Menurutnya, bagi maklumat lanjut bolehlah melayari laman sesawang www.jpm.gov.bn/travelportal. 

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kim gesa pengeluaran senjata nuklear lebih besar

    PYONGYANG, 28 SEPT - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menggesa peningkatan eksponen dalam pengeluaran senjata nuklear dan agar negaranya memainkan peranan yang lebih...