Perjalanan masih panjang – WHO

GENEVA, 23 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa krisis koronavirus tidak akan berakhir dalam waktu terdekat, dengan kebanyakan negara hanya pada tahap awal ‘pertempuran’ ketika kematian global melebihi 180,000.

Pandemik tersebut tidak hanya mencetuskan keadaan darurat kesihatan, tetapi menjejaskan ekonomi global, dengan sektor perniagaan sedang berjuang untuk terus bertahan, jutaan orang kehilangan pekerjaan dan jutaan lagi menghadapi kelaparan.

Ketika beberapa negara bersedia untuk membatalkan perintah berkurung di seluruh dunia, ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengeluarkan peringatan tegas.

“Jangan salah, kita masih jauh. Virus ini akan bersama kita lama lagi,” kata Tedros pada sidang media maya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump – kini juga berdepan kesukaran menangani pengangguran yang meluas akibat daripada sekatan dan penutupan pelbagai sektor yang sekali gus telah menjejaskan perekonomian negara itu.

Sukarelawan menggunakan sut pelindung ketika menghantar bekalan makanan di salah sebuah hotel di Baitulmaqdis yang menempatkan individu dikuarantin ketika penularan COVID-19. – AFP

Pakar kesihatan di ekonomi terbesar di dunia memberi amaran akan menghadapi gelombang koronavirus kedua yang semakin sukar ketika beberapa negara AS bergerak untuk membuka kembali perniagaan terpilih.

Negara-negara di seluruh dunia juga berusaha untuk melawan wabak itu – yang telah membunuh lebih dari 180,000 orang dan menjangkiti hampir 2.6 juta di seluruh dunia – sambil mencari kaedah untuk menyelamatkan kejatuhan ekonomi yang dahsyat.

“Sebilangan besar negara masih dalam tahap awal wabak. Beberapa negara yang terkena wabak penyakit ini sekarang mulai melihat kemunculan semula virus dalam beberapa kes.”

Sementara itu, Eropah pula menyaksikan angka kematiannya meningkat sehingga 110,000 orang, sementara kematian di Itali, antara negara yang teruk dilanda virus berkenaan, mencecah 25,000 orang. Manakala AS merupakan negara yang paling teruk dilanda virus, mencatatkan lebih 46,500 kematian dan hampir 840,000 jangkitan.

Para penyelidik kini telah mendedahkan bahawa kematian COVID-19 pertama di negara itu berlaku beberapa minggu lebih awal daripada yang difikirkan sebelumnya – yang bermaksud jumlah AS ketika ini mungkin jauh daripada kenyataan.

Finland mengatakan akan mengekalkan larangan perhimpunan lebih dari 500 orang hingga bulan Julai.

Di Sepanyol, yang melaporkan sedikit kenaikan untuk hari kedua dalam jumlah kematian COVID-19, pemerintah mengatakan mereka tidak bercadang untuk menghentikan perintah berkurung hingga sekurang-kurangnya pertengahan Mei.

“Kita harus berhati-hati dalam fasa ini,” kata Perdana Menteri Pedro Sanchez.

Tetapi Jerman, yang dengan hati-hati mulai membiarkan kedai dibuka semula, memberikan harapan yang cerah ketika mengumumkan bahawa percubaan vaksin untuk melawan virus akan dimulai pada minggu depan.

Dengan beberapa bulan lagi sebelum vaksin berkenaan dapat didedahkan, lebih daripada separuh penduduk di seluruh dunia masih berada dalam perintah berkurung.

Manakala di Asia, Singapura melanjutkan perintah berkurung selama sebulan sehingga 1 Jun ini. – AFP