Perjalanan memasuki S’wak perlu permit polis

KUCHING, 19 MEI – Berkuat kuasa hari ini, semua warganegara Malaysia yang ingin memasuki Sarawak perlu memohon permit daripada polis, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri I, berkata syarat tersebut turut dikenakan kepada penduduk Sarawak yang kembali ke negeri itu.  Selepas mendapat kelulusan polis, mereka juga perlu memohon kebenaran JPBN secara dalam talian di laman sesawang http://sdmc.sarawak.gov.my.

“Tanpa permit daripada pihak polis, JPBN tidak akan membenarkan sesiapa untuk masuk ke Sarawak. Syarat ini adalah selaras dengan arahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu sekatan pergerakan di antara negeri,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Beliau juga berkata Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) Sarawak sedang merangka prosedur operasi standard bagi rumah ibadat agama selain Islam di sini untuk diguna pakai selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat berakhir ataupun selepas dibenarkan pihak Kerajaan Persekutuan.

“Pada ketika ini, pihak gereja akan meneruskan upacara sembahyang mereka secara maya (penstriman langsung) melalui Facebook ataupun Youtube dan jumlah kru adalah pada tahap yang minimum iaitu 10 orang atau kurang,” katanya. – Bernama