SHANGHAI – Bintang Argentina, Carlos Tevez tiba di Shanghai dengan diberikan sambutan wira, namun curi-curi keluar dari China tidak sampai setahun kemudian dan kini telah melengkapkan perpindahan kembali ke Boca Juniors.
Pemain berusia 33 tahun itu, yang pernah beraksi bersama Manchester United, Manchester City dan Juventus, hanya mampu menjaringkan empat gol dalam Liga Super China (CSL) dan terlepas sebahagian besar perlawanan semasa di China kerana mengalami kecederaan, tidak berada di prestasi terbaik atau ‘gemuk’.
AFP Sports membuat analisis sepanjang 12 bulan Tevez berada di China dan mengenal pasti detik-detik di mana keadaan mula tidak menyebelahi penyerang itu.
Gaji lumayan
Pada 29 Disember 2016, Shanghai Shenhua, yang pernah membariskan penyerang dunia seperti Didier Drogba dan Nicolas Anelka, berkata bahawa mereka telah menandatangani Tevez dari Boca Juniors. Beberapa laporan menyatakan bahawa dia akan memperoleh pendapatan sebanyak 730,000 euro seminggu, gaji tertinggi dalam bola sepak.
Pada 19 Januari 2017, Tevez yang jelas gembira, dengan memakai skarf biru Shenhua di lehernya, diserbu oleh ratusan peminat yang bersorak ‘Carlos! Carlos!” setibanya di Shanghai.

Pada 21 Januari, Tevez berikrar untuk bekerja keras setanding dengan kontrak mahal yang ditandatanganinya.
“Akan ada tekanan, tetapi oleh sebab saya sangat menyukai bola sepak, saya akan menggunakan minat keghairahan saya,” katanya kepada wartawan melalui seorang penterjemah.
Pada 8 Februari, Tevez membuat penampilan pertamanya namun gagal menjaringkan sebarang gol ketika Shenhua terkandas keluar dari Liga Juara-Juara Asia dengan kekalahan 2-0 kepada Brisbane Roar, mencetuskan celaan di Twitter oleh penduduk Australia, “Siapa Carlos?”
Pada 5 Mac, Tevez membuat penampilan pertama dalam CSL dan kali ini dia bersinar, menjaringkan satu gol dan memberikan umpanan bagi dua gol lain dalam kemenangan 4-0 ke atas Jiangsu Suning.
Kontroversi Disney
Pada 15 April adalah detik pertama penyokong Shenhua mula berpaling daripada Tevez. Dilaporkan cedera, Tevez ditemui berada di Shanghai Disneyland pada hari sama pasukannya beraksi.
“Kami membayarnya berjuta-juta agar dia boleh membuat lawatan di Shanghai,” kenyataan seorang penyokong yang marah di laman sesawang bola sepak, Hupu.
Pada 27 Mei, Tevez mengatakan pemain bola sepak China ‘bodoh’ dan ‘naif’ dalam satu temu bual dengan televisyen Sepanyol. Dia menyimpulkan bahawa bola sepak China ketinggalan selama berdekad-dekad di belakang Eropah, dengan berkata: “Saya tidak fikir mereka boleh berada di peringkat itu dalam tempoh 50 tahun.”
Pada 15 Ogos, cedera lagi, Tevez kembali ke Argentina bagi mendapatkan rawatan ke atas kecederaan otot. Shenhua membuat kenyataan bahawa Tevez dijangka kembali dan dia kembali ke tanah airnya atas kebenaran mereka.


Pada 30 Ogos, seperti yang dinyatakan kelab, Tevez kembali ke China dan Shenhua menyatakan dia cergas untuk bermain. Namun media China dan penyokong Shenhua menggelarnya ‘very homesick boy’, fakta mengenai masalahnya menyesuaikan diri di mana-mana sahaja sepanjang kerjayanya.
Pada 11 September, jurulatih Shenhua dari Uruguay, Gus Poyet meletak jawatan selepas menyaksikan kelab itu bergelut di kedudukan pertengahan CSL. Pengarah teknikal, Wu Jingui mengambil alih jawatan.
Gemuk, panaskan bangku simpanan
Tanggal 13 September, Wu tidak membuang masa menggariskan peraturan, dengan berkata Tevez ‘mempunyai berat berlebihan’ dan tidak akan diturunkan sehingga dia berubah. “Apabila anda berada di atas padang, jika anda tidak dapat bermain 100 peratus, maka ia sangat tidak berguna,” kata Wu.
Tarikh 15 September, Wu mula ‘berdamai’ dengan berkata Tevez menunjukkan sikap yang lebih baik dan melakukan latihan tambahan atas kerelaannya sendiri.
“Dengan sikapnya pada masa ini, kita akan menyaksikan Tevez yang berbeza,” katanya.
Pada 16 September, Tevez keluar dari bangku simpanan dan menjaringkan gol namun Shenhua dibelasah 6-1 di Shanghai SIPG.
Pada 2 November, menjelangnya final Piala FA menentang SIPG, Tevez berjaya mengurangkan berat badan enam kilo dan kelabnya berkata dia berazam untuk menutup mulut pengkritiknya.
Pada 19 November, Tevez tidak tersenarai dalam skuad Shenhua bagi final pertama Piala FA di gelanggang sendiri tanpa sebarang sebab dari kelab. Mereka menang 1-0 semasa ketiadaannya.
Pada 26 November, dia tidak disenaraikan lagi ketika pasukannya menang Piala FA itu. Ia dikatakan bahawa dia terbang kembali ke Argentina selepas digugurkan daripada skuad Shenhua sekali lagi.
Pada 4 Disember, Tevez diarahkan kembali ke Shanghai menjelang 26 Disember jika dia mahu menyelamatkan kerjayanya di China.
Pada 6 Januari, mengakhiri mimpi buruknya di China apabila dia menandatangani kontrak bagi perpindahan ke Boca Juniors buat kali ketiga. – AFP