Perjalanan mustahak ke Afrika dibenarkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Pertimbangan keluar dan masuk Negara Brunei Darussalam bagi perjalanan mustahak (essential travel) dari lapan buah negara di Afrika Selatan kini dibolehkan semula bermula 1 Januari 2022.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pandu COVID-19 pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mengambil kira kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan terhadap situasi pandemik COVID-19 di rantau ini dan di dunia dari semasa ke semasa.

Kebenaran itu juga termasuk perjalanan masuk dan keluar negara dari atau menuju Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Bagi warganegara asing yang telah diberikan kebenaran awal untuk memasuki Negara Brunei Darussalam dari negara-negara yang dinyatakan dan kemudiannya ditarik balik pada pengumuman-pengumuman terdahulu, adalah dikehendaki untuk mengemukakan semula permohonan perjalanan masuk mereka sebelum memasuki Negara Brunei Darussalam nanti.

Untuk makluman lanjut mengenai kategori-kategori bagi perjalanan masuk dan keluar mustahak bolehlah merujuk kepada garis panduan di laman sesawang Jabatan Perdana Menteri (JPM) di www.pmo.gov.bn/travelportal.

Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dan Task Force Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Bagi maklumat terperinci, layari laman sesawang JPM di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau hubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn. Sebelum ini, kebenaran kemasukan ke lapan buah negara di Afrika Selatan telah ditangguhkan sementara yang diumumkan oleh JPM dalam kenyataan medianya bertarikh 27 November.