Perjalanan udara bermula 1 Jan, darat dan laut masih ditangguhkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Pengurangan sekatan aktiviti rentas sempadan iaitu pembukaan semula perjalanan antarabangsa, keluar dan masuk negara bagi perjalanan tidak mustahak (non-essential travel) melalui pengangkutan udara akan bermula pada 1 Januari 2022, namun perjalanan keluar dan masuk negara melalui pos kawalan darat dan laut masih lagi ditangguhkan.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada sidang media harian COVID-19 di Dewan Al-’Afiah hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi perjalanan keluar negara melalui udara, hanya rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi antara 14 hari ke enam bulan sebelum tarikh perjalanan, atau yang telah menerima dos penggalak (booster), dibenarkan tanpa memerlukan kebenaran perjalanan keluar negara daripada JPM. 

“Pada masa ini, program suntikan dos penggalak diberikan keutamaan kepada para petugas barisan hadapan dan individu berumur 50 tahun ke atas serta berisiko tinggi, Ia dibukakan kepada awam bermula 17 Disember 2021,” ujarnya.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang belum boleh menerima suntikan vaksinasi atas sebab kesihatan, mereka boleh dipertimbangkan untuk perjalanan keluar negara atas sebab yang mustahak (essential travel).

Walau bagaimanapun, mereka dikehendaki memohon kebenaran JPM terlebih dahulu. “Bagi perjalanan masuk ke negara ini, hanya warganegara asing yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dibenarkan. 

Gambar fail perjalanan melalui sempadan darat di Sungai Tujoh. Perjalanan darat dan laut masih lagi ditangguhkan manakala bagi perjalanan udara, perjalanan tidak mustahak dibenarkan bermula 1 Januari 2021.

“Walau bagaimanapun, sesiapa yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi yang tidak diiktiraf oleh WHO boleh dipertimbangkan untuk masuk atas urusan perjalanan mustahak, tetapi dikehendaki mematuhi syarat-syarat kesihatan seperti ujian swab dan menjalani kuarantin,” jelas beliau.

Yang Berhormat Dato seterusnya menerangkan semua yang memasuki negara ini dikehendaki untuk mendapatkan keputusan negatif bagi ujian tambahan ART diambil tidak melebihi 24 jam sebelum bertolak dari negara asal. Ini adalah sebagai tambahan kepada syarat mendapatkan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR tidak melebihi 48 jam sebelum bertolak dari negara asal. 

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menyatakan, bagi setiap rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang tidak dapat memenuhi syarat itu dikehendaki menjalani pengasingan diri mandatori di hotel penginapan yang diisytiharkan semasa kembali ke negara ini pada sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Insurans kesihatan perjalanan COVID-19 daripada syarikat insurans berdaftar dalam negara adalah dikehendaki bagi setiap rakyat dan penduduk yang akan keluar meninggalkan Negara Brunei Darussalam; dan bagi warga asing yang hendak masuk ke negara ini.

“Negara Brunei Darussalam akan memulakan Travel Green List semasa Fasa Awal Endemik secara percubaan dengan empat buah negara iaitu Australia, China, Singapura dan United Kingdom, yang akan membenarkan warganegara asing daripada negara-negara berkenaan untuk membuat perjalanan tidak mustahak ke negara ini. 

“Walau bagaimanapun, mereka dikehendaki menjalani ART pada hari ketiga, melalui pusat- pusat ART yang ada.

“Mereka yang akan masuk ke negara ini masih dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri sama ada di kediaman bagi yang telah melengkapkan vaksinasi ataupun di hotel-hotel yang diisytiharkan bagi yang tidak bervaksinasi atas sebab kesihatan,” ujar Yang Berhormat Dato.