Thursday, November 30, 2023
31.3 C
Brunei

    -

    Perjalanan unik dalam kereta api terapung

    LOPBURI, THAILAND – Seorang pendayung perahu memerhatikan pemandangan kereta api terapung di Thailand ketika penumpang yang suka berswafoto menikmati pemandangan air selepas turun dari gerabak yang berhenti di jambatan sempit.

    Pengembaraan kereta api kini semakin popular di negara itu dengan pelancong yang mencari pengalaman perjalanan terpencil jauh daripada kumpulan pelancong yang datang berduyun-duyun melawat kuil dan pantai.

    Hari Sabtu merupakan perkhidmatan State Railway Thailand pertama dari Bangkok ke Empangan Pasak Jolasid ‘Rot Fai Loi Nam’ sempena menandakan berakhirnya musim hujan.

    Beratus-ratus penumpang menaiki kereta api di Stesen Hua Lamphong yang berusia satu abad di Bangkok sebelum matahari terbit.

    Perjalanan melepasi kolam teratai, hutan rimba, kuil dan sawah padi ketika pelancong dalam gerabak kelas tiga melepak di luar tingkap dan mengambil gambar sambil menikmati penghawa dingin semula jadi.

    Gambar AFP
    Pelancong menaiki kereta api terapung ke Empangan Pasak Jolasid, wilayah Lopburi. – AFP
    Seorang wanita menjenguk keluar dari tingkap sementara menunggu bertolak ke Empangan Pasak Jolasid. – AFP
    Pelancong yang menaiki kereta api terapung mengambil gambar di sepanjang landasan semasa persinggahan di tengah Empangan Pasak Jolasid, wilayah Lopburi. – AFP
    Gambar AFP
    Seorang pelancong berswafoto di landasan kereta api semasa berhenti di tengah Empangan Pasak Jolasid. – AFP
    Gambar AFP

    Makcik-makcik Thai yang beruban menaiki kereta api di Ayutthaya, bekas ibu kota lama Siam – untuk menjual halwa rambut dan pad krapow, hidangan tumis selasih yang terkenal.

    Tiga setengah jam selepas bertolak dari Bangkok, kereta api Jepun yang telah dinaik taraf itu yang menarik lebih sedozen gerabak melintasi empangan Pasak Jolasid melalui beberapa jejambat dan berhenti selama 20 minit untuk penumpang mengambil gambar swafoto.

    Sepanjang tahun, lembu ternakan meragut di bawah jambatan “tetapi dari Oktober hingga Januari, air mencecah paras tinggi di kedua-dua belah kawasan yang memberikan gambaran seolah-olah kereta api itu terapung di atas air,” kata ekspatriat British yang telah lama menetap di Bangkok, peminat kereta api dan blogger perjalanan, Richard Barrow.

    “Saya telah melakukannya berkali-kali dan saya sudah ditempah untuk melakukannya tiga kali lagi musim ini.”

    Barrow mengeluh perjalanan itu hanya dihebahkan dalam bahasa Thai dan bukan bahasa Inggeris, jadi tidak ramai warga asing tahu tentang pengalaman unik itu.

    “Ia semacam peluang yang terlepas,” katanya.

    Menikmati perjalanan sehari bersama ibunya, Lily Piratchakit yang berusia 11 tahun berkata pemandangan air itu nampaknya ‘tidak berkesudahan’.

    “Ia menakjubkan,” beritahunya kepada AFP.

    “Seronok rasanya melancong, berada di luar rumah dan menghirup udara segar.”

    Pelajar pertukaran universiti Taiwan, Wei Wu, 21, berkata sungguh teruja rasanya untuk bergambar di landasan kereta api.

    “Ia amat unik. Ini kali pertama saya menaiki kereta api di Thailand,” beritahunya kepada AFP.

    “Kebanyakan pelancong hanya akan melihat pemandangan stereotaip Thailand.”

    Kemudian beberapa penumpang melawat Empangan Pasak Jolasid dan mengadakan perkelahan di sana.

    Empangan itu digunakan untuk pertanian dan pencegahan banjir dan semakin menjadi tarikan pelancongan dengan perjalanan kereta api yang popular bermula dari November hingga Januari.

    Bagi Mail, 28, dan teman lelakinya, pengalaman kereta api terapung adalah kompromi terbaik mengenai pemandangan air.

    “Saya tidak suka laut, tetapi dia suka. Sebab itu kami datang ke sini,” katanya berseloroh. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Adik Kim tolak tawaran dialog AS dengan Korea Utara

    PYONGYANG, 30 NOV - Adik perempuan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang berkuasa pada hari ini menolak gesaan Amerika Syarikat (AS) untuk kembali...