Perjanjian dos kedua dipindah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Hasil daripada penelitian tarikh-tarikh perjanjian dos ke-dua bagi orang dewasa di pusat-pusat vaksinasi, Kementerian Kesihatan telah memutuskan memindahkan tarikh perjanjian dos kedua secara automatik.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memaklumkan perkara itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Sebahagian daripada perjanjian-perjanjian ini akan diawalkan manakala yang selebihnya akan dilewatkan sedikit,” jelas Yang Berhormat Dato.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Menteri Kesihatan ingin meyakinkan orang ramai bahawa perubahan tersebut adalah selaras dengan protokol kesihatan bagi pemberian vaksin COVID-19.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan kepada orang ramai bahawa perubahan itu akan melibatkan beberapa pusat vaksinasi tertentu.

“Di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup misalnya, perubahan ini akan melibatkan perjanjian dos kedua bagi orang dewasa yang dijadualkan pada 8 hingga 21 November 2021,” jelas beliau.

“Sebanyak 10,860 perjanjian dos kedua akan diawalkan kepada 1 hingga 7 November 2021,” tambahnya.

Manakala, sebanyak 9,113 perjanjian dos kedua lagi akan ditundakan kepada 22 hingga 28 November 2021.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan, “Perubahan-perubahan ini dilaksanakan untuk memberi ruang kepada kelanca-ran pelaksanaan pemberian dos pertama vaksin COVID-19 yang dikhususkan bagi remaja-remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang dijangkakan akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut.”

Walau bagaimanapun, sebarang perubahan mengenai perkara tersebut akan dimaklumkan kemudian.