Perjanjian EU-China lindungi produk serantau

BRUSSELS, 6 NOV – Kesatuan Eropah dan China memeterai satu perjanjian semalam untuk melindungi asal-usul geografi 200 produk serantau seperti keju Roquefort atau teh Pu’er.

Perjanjian itu menunaikan janji yang dibuat pada sidang kemuncak EU-China pada April, dan dimuktamadkan ketika lawatan ke China oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron dan pegawai Eropah.

Perjanjian label makanan itu dicapai tatkala kedua-dua pihak bergelut bertahun-tahun lamanya untuk membuka laluan perjanjian pelaburan EU-China yang lama tertangguh dengan Brussels amat bimbang me-ngenai kekurangan akses pasaran di China untuk syarikat asing dan subsidi kerajaan yang tersebar luas.

Pesuruhjaya pertanian EU Phil Hogan menyifatkan perjanjian sebagai satu ‘kemenangan untuk kedua-dua pihak’ yang akan memperkukuh hubungan perniagaan dan melindungi petani dan pengguna.

“Pengguna rela membayar harga lebih tinggi, mempercayai asal-usul dan kesahihan produk berkenaan, sementara memberikan ganjaran kepada petani,”kata beliau.

China ialah pasaran kedua terbesar EU untuk eksport pertanian, mewakili 12.8 bilion euro di antara September 2018 dan Ogos 2019.

Buat masa sekarang, barangan kini dengan ‘petanda geografi’ mewakili sembilan peratus daripada jumlah ini.

Senarai 100 produk khas Eropah termasuk kebanyakan keju, seperti manchego Sepanyol dan danablu Denmark, serta wain beberapa rantau Perancis.

Dalam senarai 100 produk China, wain beras Shaoxing juga akan dilindungi, di sam-ping jeruk pao cai Sichuan dan buah seperti limau bali Tai Po.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa sebelum akhir tahun depan, selepas ia disahkan oleh pemimpin negara EU. – AFP