Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    ‘Perjanjian harus dipegang, ditunaikan’

    KUCHING, 19 JAN – Kerajaan Persekutuan berpendirian setiap perjanjian yang dimeterai bersama Sabah dan Sarawak termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus ditepati serta ditunaikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar berkata selaku pemimpin nombor satu negara ketika ini, beliau bertanggungjawab memastikan perkara itu diteruskan dan mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak itu termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

    “Kita perlu cuba selesaikan (isu MA63) secara bersungguh-sungguh dan bukan sekadar menjanjikan slogan politik untuk dapat sokongan daripada Sarawak atau GPS (Gabungan Parti Sarawak).

    “Apabila kita lihat keadaan pembangunan di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman, saya tidak boleh nafikan ada tugas yang belum kita sempurnakan dengan baik,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan negeri di sini malam ini.

    Beliau juga berkata Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan dan semangat perpaduan tidak akan dapat diperoleh sekiranya ada perasaan rakyat yang tergores.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (depan, kanan) dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) hadir pada majlis jamuan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, malam tadi. – Bernama

    “Tugas pemimpin itu merawat dan bukan untuk menambah luka, sebab itu saya lihat usaha ini sebagai menunaikan satu tanggungjawab.

    “Saya terasa ketika mendengar keluhan Sarawak dan Sabah atau golongan minoriti yang merasakan mereka tidak berada dalam arus perdana pembangunan negara. Ini tidak wajar, maka harus kita rawat (situasi ini),” katanya.

    Perdana Menteri hari ini memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari sejak dilantik ke jawatan itu pada November lepas.

    Pesawat khas membawa rombongan Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching itu pada 4:02 petang dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai kenamaan negeri menyambut beliau.

    Esok Anwar dijadualkan menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang akan turut disertai Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...