Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perjanjian meterai usaha tingkatkan jenama halal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Ghanim International Corporation Sdn Bhd mengambil langkah ke hadapan dalam perjalanannya untuk mengangkat jenama, bruneihalalfoods ke tahap yang lebih tinggi di sebalik tempoh yang mencabar bagi perniagaan secara global di mana perniagaan harus beroperasi dalam norma baharu.

    Ke arah itu, Ghanim International Corporation telah menandatangani perjanjian pengedaran dengan Hamitan Marketing pada majlis yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan perjanjian berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi selaku Pengerusi Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pelaburan), Kementerian Kewangan dan Ekonomi selaku Pengarah Darussalam Assets, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Pengarah Urusan Hamitan Marketing, Lau Kah Huon, pegawai-pegawai kanan dan jemputan khas daripada agensi-agensi kerajaan serta sektor swasta.

    Ketua Pegawai Eksekutif Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dr Nur Rahman dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa pelantikan Hamitan Marketing sebagai pengedar bagi produk-produk bruneihalalfoods adalah untuk memenuhi keperluan perniagaan yang bertambah serta rangkaian pengedaran yang lebih meluas selaras dengan perkembangan portfolio produk Ghanim.

    Dr Nur Rahman (dua dari kiri) dan Lau Kah Huon (dua dari kanan) semasa menandatangani perjanjian pengedaran disaksikan oleh Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf (tengah).

    Beliau turut menyatakan bahawa pemeteraian perjanjian itu merupakan satu lagi mercu tanda bagi Ghanim di mana ia permulaan kerjasama baharu dengan salah satu pengedar utama di Brunei yang akan membantu membuka peluang pengedaran seluruh negara yang lebih signifikan bagi produk-produk bruneihalalfoods di lebih 500 buah cawangan kedai runcit.

    Beliau turut menyatakan harapan menerusi kerjasama antara kedua-dua buah pihak, untuk mencapai visi mengedarkan produk-produk tempatan Brunei di setiap kedai seluruh negara.

    Dr Nur Rahman juga yakin dengan rakan kongsi seperti Hamitan Marketing dan Malar Setia, Ghanim akan dapat memberikan tumpuan kepada usaha ke arah membangunkan barisan produk yang lebih luas bagi memenuhi permintaan pengguna bagi produk-produk yang berkualiti tinggi dan kompetitif bagi Brunei dan dunia.

    Majlis diteruskan dengan penandatanganan perjanjian di mana bagi pihak Ghanim ialah Dr Nur Rahman dan menandatangani bagi pihak Hamitan Marketing ialah Lau Kah Huon dengan disaksikan oleh Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf.

    Mengulas mengenai penandatanganan perjanjian berkenaan, Lau Kah Huon berkata, pihaknya amat teruja dengan pelantikan dan berpeluang untuk bekerjasama dengan Ghanim International Corporation dalam membawakan lebih banyak produk bruneihalafoods buatan tempatan ke pasaran tempatan.

    Beliau juga gembira kerana dapat bergerak bersama-sama Ghanim dalam perjalanannya untuk berkembang pada masa hadapan serta bergerak seiring dalam menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi lebih banyak kepelbagaian dan sara diri perniagaan-perniagaan tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda