Perjelas isu kekurangan daging kambing, nuget ayam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Berikutan kekurangan stok daging kambing dan nuget ayam di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah membangkitkannya dengan kementerian-kementerian yang berkenaan termasuk Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Disebabkan oleh COVID-19, Bahagian Kawalan Makanan Halal sedang menghadapi kesulitan untuk keluar negara bagi memastikan dan menyaksikan bahawa ternakan yang ingin diimport berkenaan disembelih menurut syarat-syarat yang ditetapkan.

Sekiranya ingin keluar negara, mereka hendaklah dikuarantin selama dua minggu, tinggal di sana selama beberapa hari dan seterusnya dikuarantin lagi setelah kembali. Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menekankan perbelanjaan tersebut adalah sangat tinggi disebabkan proses-proses berkenaan.

Yang Berhormat Dato menekankan perkara berkenaan bagi menjawab persoalan mengenainya semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Adalah lebih baik sekiranya kita memberikan peluang kepada kilang atau abattoir tempatan memikirkan cara untuk menghasilkan nuget ayam berkenaan,” tambah beliau.

Beberapa peniaga dan pengusaha mengalami kekurangan barangan makanan seperti daging kambing, nuget ayam dan sosej. – Gambar hiasan

Baru-baru ini, jelas Yang Berhormat Dato, terdapat sebuah syarikat di Brunei yang telah mendatangkan (mengimport) mesin untuk membuat nuget dan sebagainya.

“Disebabkan COVID-19, syarikat berkenaan mendapat sambutan yang tinggi sehingga produksi syarikat berkenaan mempunyai isu kapasiti kerana pesanan daripada rangkaian makanan segera dan juga pasar raya,” ujar beliau.

Beliau berharap, dengan mesin baharu tersebut akan dapat meningkatkan lagi kapasiti syarikat berkenaan dalam memenuhi permintaan yang tinggi.

Mengenai stok daging kambing, Yang Berhormat Dato menjelaskan, ia memberikan cabaran yang berbeza untuk mula menghasilkannya dan kemungkinan mengambil masa yang lama.

Sebelum ini, pihak Media Permata ada membuat beberapa penyelidikan terhadap peniaga-peniaga dan pengusaha tempatan serta orang ramai mengenai isu berkenaan.

Peniaga dan pengusaha restoran didapati telah mengalami kekurangan beberapa jenis barangan makanan seperti daging biri-biri, nuget ayam dan juga sosej dengan beberapa pengusaha restoran mengambil langkah untuk menawarkan alternatif bagi hidangan mereka seperti menggunakan daging lembu.

Salah sebuah restoran makanan segera juga telah mengongsikan kepada media bahawa ramai daripada kalangan pelanggan mereka telah bertanya mengenai nuget setiap hari namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana sekatan barangan import dari luar negara semasa COVID-19 ini.

Pihak restoran tersebut juga telah cuba menghantar surat kepada pihak berkuasa berkenaan dengan menyatakan bahawa produk seperti nuget tersebut merupakan salah satu daripada produk utama mereka dan tanpanya, terdapat kerugian pada penjualan.

Pengusaha restoran di Kiarong ketika ditemu bual menyatakan bahawa kekurangan bekalan daging biri-biri membuatkan mereka menawarkan alternatif bagi hidangan masakan daging biri-biri yang popular.

Mereka menggunakan daging lembu sebagai alternatif dan rata-rata pelanggan mereka memahami akan situasi yang dihadapi oleh mereka serta ramai yang memilih untuk mendapatkan masakan yang menggunakan ramuan alternatif berkenaan.

Beliau menyatakan perasaan yakin bahawa masalah kekurangan daging biri-biri berkenaan akan dapat ditangani oleh pihak yang berkenaan dalam masa terdekat dan beliau memahami keadaan masa ini iaitu isu-isu pengimportan adalah di luar kawalan pihak pengimport.

Sementara itu, seorang pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Agnes memberitahu bahawa beliau juga melihat terdapat kekurangan bekalan daging biri-biri di pasaran di mana pasar raya yang sering.

Beliau juga berkata, beberapa produk seperti nuget ayam dan sosej jenama terkenal dari negara jiran juga sukar untuk diperoleh namun begitu, beliau amat gembira bahawa terdapat jenama lain termasuk jenama tempatan yang menjadi alternatif baginya.