Perjuangan Mawi angkat tulisan Jawi diiktiraf

Artis serba boleh, Mawi, 38, tidak menyangka minat mengarahkan drama dan filem serta keikhlasan memperjuangkan tulisan Jawi melayakkan dirinya menerima Anugerah 100 CEO Muda Terbaik 2021 anjuran Ikon Malaysia.

Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan bakal menerima trofi bagi kategori Industri Muzik & Hiburan pada majlis yang berlangsung, minggu lalu.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani berkata, trofi itu menambahkan semangat untuk terus berkarya bukan sahaja dalam bidang seni, malah mahu terus memperjuangkan tulisan Jawi.

“Saya tidak pernah menyangka mendapat pengiktirafan dalam acara anugerah yang langsung tidak berkaitan dengan industri seni. Ketika dimaklumkan mengenai pemilihan ini, saya terkejut kerana ia bukan acara hiburan.

“Saya tertanya-tanya apa yang melayakkan saya untuk menerima trofi ini. Tetapi, saya dimaklumkan pemilihan saya dibuat atas usaha yang dilakukan dalam bidang seni seperti pengarahan, penerbitan dan perjuangan saya terhadap tulisan Jawi menerusi stesen radio Zayan termasuklah, penubuhan Mawi World Entertainment.

Mawi bersama isterinya, Ekin yang menjadi pendorong kejayaannya. – Agensi

“Pengiktirafan diberikan membuatkan saya rasa lebih bersemangat menghasilkan filem, drama dan program televisyen yang boleh memberikan manfaat kepada penonton. Tambah bermakna pengiktirafan ini bukan datang daripada acara hiburan,” katanya.

Penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tiga kali dari 2005 hingga 2007 itu berkata, dia tidak menyangka usaha memperkenalkan tulisan Jawi menerusi segmen Mawi Jawi turut mendapat perhatian pihak penganjur.

“Mereka nampak usaha saya mengangkat tulisan Jawi. Stesen radio Zayan membawa konsep gaya hidup muslim kontemporari yang mudah untuk pendengar muda.

“Selain itu, kami berkongsi pelbagai maklumat positif yang memberi inspirasi kepada pendengar,” kata artis yang pernah mencetuskan gelombang Tsumawi itu. Mengulas usaha memperjuangkan tulisan Jawi serta drama, filem dan program berunsurkan kerohanian, Mawi yang mula menunjukkan bakat sebagai pengarah filem, dua tahun lalu berkata, cetusan idea terjadi dengan sendirinya.

“Mungkin juga ia sudah sebati dalam diri apabila mahu karya menjurus ke arah Islamik setiap kali menghasilkan skrip.

“Ia sudah seperti gaya hidup, sehinggakan saya merasakan seperti ada yang tidak kena jika tidak menyelitkan unsur pengajaran atau kerohanian dalam naskhah saya,” katanya yang bakal muncul dengan filem kedua Hantu Kuat Ketawa dalam masa terdekat. – Agensi