Perjuangan Palestin memasuki fasa paling rumit

RAMALLAH, 11 NOV – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kelmarin berkata persoalan membabitkan Palestin memasuki fasa paling rumit dan berkemungkinan juga paling sukar, lapor Xinhua.

Abbas berkata demikian ketika berucap menerusi televisyen sempena hari memperingati ulang tahun kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat yang ke-17.

“Upacara ini berlangsung ketika perjuangan kebangsaan kita menempuh fasa amat rumit, mungkin juga paling sukar dalam sejarah perjuangan kita. Adalah suatu yang tidak munasabah atau suatu yang boleh diterima kerana kuasa penjajah terus menjerut kita selama-lamanya.

“Dan tidak munasabah juga untuk kita terus komited terhadap perjanjian ketika Israel tidak pernah mematuhinya.

“Israel terus membina dan memperluaskan kawasan perumahan selain terus melancarkan penindasan sistematik bagi mengubah keadaan sejarah bandar raya Baitulmaqdis bagi menghapuskan identiti, karakter Arab dan Islam,” katanya sambil menggesa dunia supaya ‘mengubah cara bertindak mereka terhadap Israel dengan mengambil langkah lebih ketara’. – Bernama