Perjuangan perlu diteruskan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Menurut Rene Weber, kekalahan hanya akan memberi impak kepada skuad kendaliannya, namun ia bukanlah alasan untuk tidak beralih dan terus melangkah ke hadapan serta menjadikan kegagalan sebagai motivasi dalam mempertingkatkan pencapaian.

Weber selaku ketua jurulatih DPMM FC meminta skuad kendaliannya agar terus berusaha dalam memperbaiki kedudukan ketika bersaing dengan pasukan lawan, menjelang pertemuan pasukan itu menentang Geylang International di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, esok.

“Apa yang mustahak ialah kita terus mencuba dan berusaha serta berdepan dalam apa jua tahap dan sangat bergantung untuk kita terus responsif dan proaktif ke arah memulihkan kedudukan,” katanya ketika ditemui Media Permata.

Menurutnya, dua perlawanan akan datang termasuklah pertemuan esok adalah sangat penting, memandangkan kedua-dua pasukan itu faham dan tahu bagaimana untuk memastikan prestasi serta corak permainan masing-masing, malah menyeru skuadnya untuk mencipta ritma bagi menguasai persaingan dengan menghasilkan tiga mata penuh.

Tambahnya, sekiranya mereka mengamalkan sikap tidak peduli serta hilang tumpuan, mereka akan dihukum, dan apa yang paling utama ialah menghasilkan peluang memandangkan pada pendapatnya, skuad kendaliannya sering kali mensia-siakan peluang keemasan yang ada.

Para pemain berperanan penting untuk bekerjasama antara satu sama lain bagi memulakan serangan atau sebaliknya, yang akan menentukan nasib mereka di atas gelanggang nanti.

Katanya lagi, beberapa orang pemain utama tidak akan diturunkan termasuklah Azwan Salleh, Azwan Ali Rahman dan beberapa pemain lain berikutan kecederaan yang dialami mereka, di mana mereka perlu sembuh sepenuhnya agar menjadi cukup tajam di padang nanti.