Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 2 OKT – Lebih 70 bekas guru dan pelajar Sekolah Melayu Muhammad Alam (SMMA), Seria, yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Muhammad Alam telah berkumpul pada Majlis Perjumpaan dan Sambutan Hari Guru yang diadakan di Hotel Lanes, Daerah Tutong, kelmarin.
Majlis menyatukan mereka yang pernah mengajar dan menuntut di SMMA antara tahun 1953 hingga 1988 itu bertujuan bagi mengenang kembali nostalgia lama sekali gus menyulam kembali ikatan yang telah lama terjalin dalam suasana yang santai dan harmoni.
Pengerusi majlis, Awang Hassan bin Haji Masri dalam ucapannya melahirkan kesyukuran atas rezeki masa dan kesihatan kerana dapat mengadakan perjumpaan semula dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kehadiran bekas guru dan pelajar yang pastinya menjadi detik yang amat ditunggu-tunggu selama ini.
“Dengan jasa dan pengorbanan para guru termasuklah mereka yang telah kembali ke rahmatullah dalam mendidik anak bangsa selama ini pastinya Insya-Allah ia akan menjadi amalan jariah yang akan berterus sehingga ke syurgaNya,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dengan adanya majlis perjumpaan itu, ia secara tidak langsung menyemai jiwa raga untuk terus bertukar-tukar pandangan demi sama-sama meningkatkan prestasi diri lebih-lebih lagi dalam meniti cabaran kehidupan yang semakin mencabar ini.
Majlis telah diserikan dengan persembahan lagu ‘Guru oh Guru’ yang didendangkan oleh sebahagian bekas guru dan pelajar yang hadir.
